Menu


Anak Muda Terengganu Usahawan Cetakan Tekstil Ternama



DUNGUN - Beliau pernah gagal menamatkan pengajian tinggi kerana masalah kewangan dan pernah mencari pendapatan sebagai seorang pelayan di kedai makan. Namun siapa sangka, bekas pelajar dari sebuah kolej kejururawatan mampu mengubah hidupnya dengan menceburi bidang percetakan T-Shirt dan tekstil.

Izham Ridzuwan, 30; mula menceburkan diri dalam bidang percetakan tekstil khususnya baju-T, seawal tahun 2009 tanpa sebarang pengetahuan dalam bidang tersebut. Pada mulanya, hasrat beliau ditentang hebat oleh mereka yang paling dekat dengan beliau atas alasan bidang tersebut tidak berdaya saing.

Namun melihat kepada peluang yang cerah serta yakin akan keberhasilan dari bidang yang ingin diceburi, beliau nekad mendalami ilmu percetakan tekstil khususnya baju-T melalui pelbagai kaedah. Laluannya pula tidaklah mudah...



“Saya pernah minta belajar dengan kedai-kedai yang cetak T-Shirt, sampaikan saya tawarkan untuk bekerja tanpa gaji semata-mata ingin belajar...namun tak ada yang ingin mengambil saya bekerja kerana tiada kemahiran...”

Ujar Izham, dia ditemukan dengan seorang pencetak tekstil pada 2008 di Balakong, Selangor yang sudi memberi tunjuk ajar dalam teknik percetakan tekstil kepadanya. Di atas kegigihan dan kesungguhannya, segala tunjuk ajar yang diberi kemudiannya dizahirkan melalui permulaan perniagaannya yang sulung. Beliau memulakan perniagaanya dengan membina sebuah bangsal kecil di hadapan rumahnya di Dungun serta berbekalkan modal hanya RM2000 untuk bahan-bahan cetakan.

“Masa mula-mula bisnes dulu tak berapa pandai, tapi kerana nak berjaya, saya belajar dan usaha cari ilmu dalam mengurus perniagaan pula...,”



Jatuh bangun dan sepak terajang dalam dunia perniagaan tidak pernah melemahkan semangat beliau, bahkan mereka yang terdekat pula sudah mula yakin dan tidak putus memberikan dorongan kepadanya.

“Dalam proses melalui peningkatan perniagaan, saya pernah ditipu dan mengalami kerugian yang besar sehingga hampir setengah juta ringgit kerana kurang ilmu, namun saya anggap itu semua sebagai satu ujian kepada diri saya dalam dunia bisnes,”

Izham kini merupakan di antara pencetak dan pembekal baju-T yang terbesar di Terengganu, mempunyai kilang yang tersendiri dan membekal jenama Oren Sport serta memiliki ratusan ejen di seluruh Terengganu.



Selain percetakan baju T, kilangnya turut membekal sulaman untuk baju korporat dan lain-lain.

Mengimbau semula kepayahannya mendalami ilmu percetakan tekstil, Izham kini giat berniaga di samping membantu usahawan baharu di Terengganu untuk memahirkan diri dalam bidang percetakan tekstil serta berurusniaga dengannya.



"Saya mahu mereka juga berjaya, selagi ada daya saya ingin membantu mereka..."

Bagi mereka yang ingin berurusniaga secara langsung, pusat niaga Oren Sport terletak di LOT PT 16694, Bangunan Kedai Dua Tingkat, Jalan Besar Paka, 23100,Paka, Dungun, Terengganu dan boleh dihubungi melalui emel : orangeapparel77@gmail.com.


cpn
 
Top