Menu




Bekerja dalam bidang perkhidmatan awam sememangnya memerlukan kesabaran yang tinggi dan adab serta akhlak yang terpuji. Lebih-lebih lagi ianya adalah bidang untuk mempermudahkan urusan serta banyak berinteraksi dengan orang awam. Selain memberi gambaran perkhidmatan berkualiti yang ditawarkan, sikap pekerja juga sedikit sebanyak memberi reputasi kepada badan dan organisasi yang diwakili.

Berikut merupakan luahan seorang wanita di laman media sosial baru-baru ini berhadapan situasi yang dilaluinya semasa berurusan di Yayasan Terengganu. Sejauh mana dakwaan beliau tidaklah dapat dipastikan. Walaubagaimanapun, ianya merupakan cabaran yang berat kepada organisasi untuk melatih pekerja di bahagian hadapan supaya lebih tertib, ramah dan mesra pelanggan/pelawat.

ADAKAH SESETENGAH STAFF(S) UNTUK FRONTLINER YAYASAN TERENGGANU TIDAK DILATIH UNTUK MELAYAN PELAWAT DENGAN BERHEMAH DAN BERADAB?

Saya tidak tahu bila saya boleh betul-betul berhusnuzon dengan akhlak sesetengah staffs di sini. Mungkin aduan saya ini hanyalah aduan rakyat marhaen yang jauh sekali sememangnya bukan anak mana-mana orang besar Terengganu.

Saya betul-betul berharap YB MB Terengganu,Dr Samsuri dapat berbuat sesuatu untuk memastikan staffs Yayasan Terengganu, terutamanya Frontliners untuk bercakap dengan pelawat dengan hemah,beradab dan berakhlak mulia. Tidak menengking dan memalukan.

Pertama kali saya dimalukan ketika saya cuba untuk mencuba nasib dengan keputusan SPM 2012 10A 1B, untuk mengisi borang permohonan biasiswa Yayasan Terengganu, tetapi saya dilayan seperti sampah apabila staff frontliner dengan suara yang tinggi,

"Awak punya sejarah A-! Awak tak layak pun nak mintak biasiswa ni!"

Malunya saya ketika itu, terdiam, terus saya ambil semua dokumen, dan berlalu pulang kerana malu dengan ramainya lagi lepasan-lepasan SPM di ruang tersebut. Saya bukanlah jenis tidak sedar diri kalau diberitahu secara baik bahawa saya tidak menepati syarat-syarat kelayakan untuk biasiswa Yayasan Terengganu.

Dan hari ini 11 Febuari 2019, jam 4 petang, saya cuba sekali lagi untuk menghantar resume dan sijil-sijil untuk memohon jawatan guru sandaran tidak terlatih (gstt). Saya telahpun mengisi permohonan secara online, tetapi saya cuma mencuba sebagai courtesy untuk menghantar hardcopy di pejabat Yayasan Terengganu. Sekali lagi saya ditengking di sini.

"Assalamualaikum, saya nak tanya macam mana ya untuk saya hantar resume untuk jawatan Guru Sandaran Tidak Terlatih(gstt)?", saya memulakan pertanyaan di kaunter pertanyaan.

Namun jawapan yang saya terima sekali lagi dengan akhlak yang tidak menggambarkan Kerajaan Terengganu sedang mempraktikkan Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera.

Dengan nada yang sangat tinggi,

"Ada ke dia kabo suruh hanto resume?! Kita takdok mitok resume pung."

Saya mengangguk. Cuba lagi untuk bercakap secara baik.

"Macam mana ya untuk saya buat semakan permohonan saya?"

Masih dengan nada tinggi,

"Ni mana ada semakan semakan. Kalu terpilih kita call la nanti".

"Baik.". Saya cuba menahan diri untuk tidak terus menegur Puan yang menjaga Kaunter Pertanyaan tersebut, kerana bimbang kemarahan saya terhadap adab dan akhlaknya membuatkan saya pula tidak beradab. Cuma bezanya dengan situasi dahulu adalah tiada orang yang sedang menunggu di ruangan kaunter pertanyaan tadi. Dan bayangkan itu adalah kaunter pertanyaan pertama yang setiap pelawat akan lalui.

Ini adalah kali kedua saya berurusan secara terus dengan Yayasan Terengganu dengan perbezaan 6 tahun dari situasi pertama dan kedua, walaupun kita telah bertukar pimpinan kerajaan, tetapi layanan frontliners masih di tahap kelas ketiga, bahkan sangat memalukan apabila mereka menjadi gambaran pertama untuk jenama Yayasan Terengganu khususnya.

Saya belajar dan bekerja di luar Terengganu selama 6 tahun selepas tamat SPM 2012 di SMAASZA, dan saya sentiasa berbangga mengakui diri saya anak Terengganu. Tetapi saya sangat malu jika mereka yang berakhlak sebegini dipilih menjadi frontliner untuk badan dan jabatan kerajaan Terengganu.

Saya betul-betul berharap YB Dr Samsuri dan Exco-exco kerajaan Terengganu dapat memandang isu ini dengan serius dan memastikan staffs frontliner di badan-badan kerajaan Terengganu dilatih untuk beradab, berhemah dan berakhlak mulia terhadap para pelawat agar Terengganu Maju Berkat Sejahtera bukan sekadar omongan kosong pimpinan tetapi dizahirkan pada akhlak staffs kerajaan negeri(terutamanya). Saya percaya setiap orang berhak untuk dilayan sebagai manusia bermaruah dengan sikap berkemanusiaan tanpa mengira umur, warna kulit, pangkat dan agama.

Saya optimis kerajaan Negeri Terengganu sangat terbuka untuk menerima kritikan dan cadangan dari rakyat, dan berharap perkara sebegini tidak dialami oleh orang lain terutamanya orang-orang luar Terengganu.

Nik Nur Atiqa

Semoga Terengganu terus Maju, Berkat dan Sejahtera






cpn
 
Top