Menu



KUALA TERENGGANU : Pihak Polis mengingatkan orang awam supaya tidak memberi perlindungan atau menyembunyikan saspek yang terlibat dalam kes pembuangan bayi yang ditemui hampir reput di Kampung Banggol Kapas, sekitar tiga hari lalu.

Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Suhaimi memberitahu, pihak polis kini sedang giat memburu saspek berdasarkan petunjuk yang ada.

Pihak Polis juga berharap supaya orang awam turut bekerjasama dan tampil jika mempunyai maklumat berhubung kes tersebut.

Tiga hari lalu, janin yang masih belum cukup sifat dipercayai bayi perempuan ditemui di kawasan semak di tepi jalan di Kampung Banggol Kapas, Marang.

Janin yang berbalut dengan kain batik dan diletakkan dalam beg kertas berwarna biru itu ditemukan di bawah sebatang tiang elektrik di jalan kampung itu oleh seorang suri rumah, Nor Azura Hashim, 34, yang dalam perjalanan ke majlis kenduri di kampung berdekatan pada jam 4 petang.

Nor Azura berkata beliau nampak beg berkenaan pagi Rabu lalu namun tidak mengesyaki apa-apa, tetapi hari ini beliau tergerak hati untuk melihat bungkusan itu kerana menghidu bau busuk ketika melalui jalan itu ke majlis kenduri.

“Saya nampak anggota badan manusia yang sudah tidak sempurna, berbau busuk dan sudah berulat,” katanya kepada pemberita di kampung berkenaan.

Janin berkenaan dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

"Polis kini giat mengesan suspek yang berkemungkinan mendapatkan rawatan di mana-mana klinik dan hospital berhampiran,” katanya sambil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.





cpn
 
Top