Menu



PENGAGIHAN Dana Raya bagi penduduk yang berkelayakan di Terengganu akan diteruskan pada tahun ini tetapi akan dibuat secara lebih bersasar.

Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengagihan itu akan membabitkan beberapa penambahbaikan bagi membolehkan bantuan hanya diberikan kepada yang benar-benar layak untuk menerima manfaat itu.

“Jadi, mungkin kita menggunakan kaedah dengan mengecilkan jumlah pendapatan bersih pemohon.

“Bagaimanapun, kita belum buat keputusan lagi dan sedang melihat data statistik pendapatan bersih dan bagaimana kita akan berikan dana berkenaan,” katanya kepada media selepas mengagihkan bubur lambuk di Masjid Abidin di Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama isterinya, Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak dan wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Tahun lalu, seramai 276,541 orang pemohon menerima manfaat Dana Raya membabitkan peruntukan berjumlah RM69.13 juta.


Bantuan tahunan kerajaan negeri itu diagihkan mengikut kategori iaitu RM44.3 juta kepada 177,097 orang yang pendapatan rendah, RM9.7 juta kepada 38,744 warga emas, RM10.7 juta kepada 42,800 ibu atau bapa tunggal dan RM4.5 juta pula disediakan untuk 17,900 orang kurang upaya (OKU).

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata, Terengganu sudah menerima pembayaran royalti minyak mengikut jadual pada tahun ini membabitkan jumlah kira-kira RM580 juta yang dibayar pada awal April.

Menurutnya, pemberian itu bagaimanapun membabitkan pemotongan 25 peratus bersamaan kira-kira RM180 juta oleh Kerajaan Pusat bagi pembayaran hutang tertunggak.

“Rundingan masih dibuat dan kita minta supaya pemotongan hutang itu tidak sampai 25 peratus tetapi dalam keadaan yang lebih rendah,” katanya.


cpn
 
Top