Menu



KUALA TERENGGANU - Selepas tiga jam bersembunyi di atas bumbung bot dalam longgokan pukat, tiga nelayan warga Vietnam akhirnya menyerah diri kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semalam.

Nelayan warga asing berkenaan bertindak menyembunyikan diri selepas menyedari kehadiran anggota APMM yang melakukan rondaan Op Naga Barat dan Op Iman kira-kira jam 9.04 pagi.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, bagaimanapun mereka terpaksa mengalah kerana tidak tahan dengan haba panas di tempat persembunyian.

"Tempat mereka bersembunyi memang tidak berbahaya, tetapi disebabkan keadaan di kawasan itu dipenuhi longgokan pukat serta dalam masa sama cuaca yang panas terik mengundang haba.

"Mungkin disebabkan itulah, mereka hanya mampu bertahan dalam tempoh tiga jam sebelum masing-masing menyerah diri dengan keadaan yang tidak bermaya," katanya pada sidang media di Jeti APMM, Pulau Kambing di sini hari ini.

Muhammad Suffi berkata, turut ditahan dalam serbuan terbabit 20 awak-awak termasuk tekong berusia antara 18 hingga 50 tahun.

Katanya, dalam serbuan yang dilakukan di dua lokasi berbeza iaitu pada jarak 107 dan 105 batu nautika dari muara Kuala Terengganu itu, dua buah bot nelayan asing berjaya ditahan.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua bot itu menggunakan nombor pendaftaran tempatan dipercayai bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa selain lesen yang dikemukakan semasa pemeriksaan didapati palsu.

"Kami yakin kedua-dua bot ini berkait antara satu sama lain kerana semasa pemeriksaan dilakukan didapati bot pertama dipenuhi hasil tangkapan manakala bot kedua sebaliknya selain kedudukan di antara satu sama lain hanya bersebelahan," katanya.

Muhammad Suffi berkata, rampasan dianggarkan bernilai hampir RM2 juta termasuk hasil tangkapan laut, minyak diesel, bot dan peralatan menangkap ikan.

Katanya, kesemua awak-awak dan tekong yang tidak memiliki sebarang dokumen ditahan untuk siasatan di bawah Akta Imigresen manakala kedua-dua bot tersebut dibawa ke Jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985.


cpn
 
Top