Menu



AMAT menyedihkan! Di kala rakyat dibimbangi dengan berita wabak koronavirus Covid-19, sebuah portal akhbar digital memilih untuk mempertikaikan tindakan dan langkah yang diambil oleh pihak kerajaan bagi membendung masalah ini.

Menurut Jahabar Sadiq, pengendali portal The Malaysian Insight; dalam penulisannya yang bertajuk 'Guna Akal Budi, Bukan Kerah Tentera' berpendapat tindakan Perdana Menteri mengerahkan tentera ke lapangan bagi membantu pihak polis adalah tindakan yang salah dan tidak perlu.

Kata beliau, tindakan mengerahkan tentera menunjukkan rakyat tidak mematuhi polis mahupun kerajaan dan hanya patuh kepada tentera.

"Semua menteri kerajaan yang muncul di siaran televisyen (dan) membuat kenyataan merosakkan perkara yang perlu disampaikan"

"Ahli politik yang tidak boleh berfikir dengan baik seelok-eloknya letak jawatan dan biarkan krisis ini ditangani pakar"

Bersama rencana itu, semakin ramai figura-figura politik dari Pakatan Harapan juga turut tampil mempersoalkan keperluan tentera dalam membantu menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan serta menyifatkannya tidak perlu, terburu-buru dan tidak matang.

Penulisan media kebiasaannya tidak bias atau cenderung kepada pihak-pihak yang mempunyai pandangan yang sama. Pun begitu, penulis akhbar tersebut memilih untuk melontarkan pandangan dengan sebuah penulisan sangat ringkas lalu membantai tindakan yang diambil pihak kerajaan tanpa mengambilkira pandangan kolektif umum.


Respon Ketua Editor Terengganu Voice:

Bagi menangkis penulisan yang bersifat penting diri dan berbaur hasutan dari akhbar itu, saya selaku seorang editor juga turut terpanggil bagi menyangkal penulisan dangkal pengendali akhbar tersebut.

Apabila berlakunya sesuatu krisis, antara barisan pertahanan yang turut dikerah membantu agensi dan badan penguatkuasaan yang lain adalah tentera. Antara yang sering kita lihat adalah apabila berlakunya bencana alam seperti banjir dan lain-lain. 

Kerahan tentera itu tidak boleh dianggap atau dipandang sebagai suatu kaedah bagi menakut-nakutkan rakyat sebaliknya perlu dilihat sebagai suatu kerjasama bagi menjayakan Perintah Kawalan Pergerakan bersama agensi-agensi keselamatan yang lain. Selain memiliki daya ketahanan yang tinggi, tentera juga amat terlatih dalam pengurusan bencana.

Kita wajar bermuhasabah, Covid-19 tidak mengenali sempadan nasional, ikatan dan pengaruh sosial, sistem pentadbiran dan politik mahupun nilai budaya. Ia menghentam segala apa yang berada di laluannya dan mampu melumpuhkan dunia. Berdepan dengan sebuah pandemik, apa yang bakal berlaku bukanlah menjadi persoalan utama, tetapi bagaimana kita bertindak.

Jika dilihat semula, sejarah kedatangan wabak ini telah merebak dan menjangkiti ribuan di Wuhan dalam masa sehari. Setiap katil di hospital penuh pada waktu itu. Namun kini, kebanyakan katil telah dikosongkan dan wad juga telah ditutup. Bagaimana China mampu melakukannya? Ianya bukan sesuatu yang baharu, tetapi wajar diambil iktibar.

Apa yang dilakukan oleh mereka hanyalah menghentikan kitaran jangkitan diantara sesama manusia. Walaupun pada waktu itu tindakan mereka telah dilabel sebagai ekstrim, dan agresif. Namun kini, semakin banyak negara terpaksa mengikut kaedah yang sama berikutan kejayaan China dengan mengenakan sekatan pergerakan ke atas rakyat bagi membendung wabak Covid-19 dari terus merebak.

Dangkalnya bagi penulis tersebut apabila berpendapat tentera perlu kekal di berek sebagai barisan pertahanan akhir sekiranya situasi bertambah buruk. Ingin saya persoalkan di sini. Lupakah saudara pada kenyataan "tentera makan gaji buta" yang pernah dilontarkan seorang figura politik? Kini bila mahu berkhidmat mengapa ditegah pula. Apakah Jahabar selaku penulis tidak melihat apa yang berlaku hari ini sebagai suatu bencana? 

Angka kes wabak koronavirus Covid-19 berganda setiap hari dan hampir menyamai statistik yang berada di Itali mengikut bilangan hari. Apakah saudara Jahabar sedang menunggu supaya situasi bertambah buruk? Apalah lagi yang dapat diselamatkan pada ketika itu jika ianya tidak dibendung dari sekarang?

Pihak kerajaan pada hari ini boleh sahaja menyalahkan ahli-ahli politik terdahulu yang tidak mengambil serius menyekat kemasukan pelancong dan mereka yang berpotensi menyebarkan wabak, namun memilih untuk tidak berbuat demikian. Dan pada waktu itu, rakyat Malaysia telah disajikan dengan kisah-kisah perebutan kuasa politik sesama suatu pakatan yang amat-amat memualkan.

Saya pada hari ini tentu sahaja sangat bersyukur apabila sebuah kerajaan baharu dapat dibentuk untuk membendung masalah yang timbul pada hari ini. Bayangkan jika pemimpin terdahulu masih lagi dibuai mimpi, mengambil sikap sambil lewa, tidak serius dan sekadar melepaskan batok di tangga. Bayangkan pula jika parlimen terbubar dan rakyat sedang menunggu sebuah pilihanraya diadakan tanpa sebuah kerajaan yang bertindak membendung masalah ini. Bayangkan pula rakyat terpaksa menggadai nyawa berisiko mendapat jangkitan apabila membuang undi bagi memilih sebuah kerajaan! Nah! Bukankah impaknya lebih besar? Kamu itu seharusya bersyukur!

Saya beranggapan pengendali akhbar tersebut masih mahu bermain politik tatkala negara sedang berhadapan dengan musibah. Menghasut agar rakyat membenci pemerintah dengan melabelkan pimpinan sebagai 'kurang akal budi' dan 'pengacau'. Mungkin saja beliau sedang mencari populariti atau publisiti murahan melalui sebuah penulisan yang mengundang kemarahan rakyat. Manakan tidak, posting tersebut sahaja telah mengundang komen kecaman dari pelbagai pihak.


Keseimbangan diantara hak asasi manusia dan keselamatan awam sentiasa melalui proses evolusi yang mempunyai titik persefahaman. Sebagai contoh, selepas beberapa siri tragedi keganasan dan musibah, setiap lapangan terbang antarabangsa mula melaksanakan pemeriksaan berkala yang menyeluruh keatas semua penumpang. Tiada yang terkecuali dan tidak timbul soal melanggar hak asasi manusia. Malahan tiada juga yang membantah; ini kerana kita telah memberi sedikit ruang kebebasan dan hak kita demi kesejahteraan sejagat.

China telah melaksanakan sekatan pergerakan dan kuarantin terbesar dan paling agresif di dunia; kilang-kilang ditutup, kemudahan awam terhenti dan rakyat hanya duduk di rumah. Hanya dengan kaedah tersebut, China mampu mengelakkan pertambahan jutaan kes dan puluhan ribu kematian. Kaedah tersebut juga memberi masa kepada mereka bagi melancarkan urusan petugas-petugas keselamatan dan kesihatan yang berada di barisan hadapan.

Polisi awam ini memerlukan kerjasama dua pihak, pembuat dasar dan penerima dasar. Kawalan dan sekatan adalah proses yang ekstrim dan memerlukan kerjasama dari rakyat secara total. Jika pada hari ke-3 pun kita masih dapat melihat segelintir masyarakat masih minum kopi di kedai dan berpeleseran. Saya anggarkan kerahan tentera agar membantu pihak polis merupakan satu kaedah yang lebih efektif dan serius

Saudara Jahabar, apakah anda tidak serius mahu menamatkan perkara ini? Penggunaan kaedah keselamatan awam adalah bersifat universal dan pelbagai; samada berkesan atau tidak dan samada bodoh atau tidak. The people just want to end it, so does the leader.

Waktu-waktu yang mendesak juga memerlukan pendekatan yang mendesak. Dengan angka kes yang semakin meningkat sehingga 1,030 dalam masa yang singkat. Kita kini sedang terdesak. Mungkin Jahabar mahu tunggu kita semua terSEDAK?

Tidak wajar menyalahkan pemimpin dalam keadaan genting hanya kerana ingin bermain 'politik', dan tidak wajar meletakkan politik mengatasi keselamatan awam. Pada waktu ini, kita wajar berganding dalam memerangi wabak. Kalaulah ianya seMUDAH apa yang ditulis dan difikirkan oleh saudara Jahabar, sudah tentu kita tidak perlu melalui semua ini.

Jika saudara Jahabar merasakan tindakan kerajaan hari ini adalah salah dan tidak perlu. Saya juga mempunyai pandangan dan beranggapan penulisan saudara sangat salah, tidak bijak, tidak beretika malah tidak diperlukan ketika rakyat sedang gelisah. Mungkin juga akal budi adalah elemen yang diperlukan dalam penulisan tersebut.

Gelarlah saya penjilat atau apa sahaja. Jika tindakan mereka (kerajaan) hari ini dalam menangani wabak koronavirus Covid-19 adalah bodoh, maka sayalah editor pertama yang akan menghentam dan mengecam tindakan mereka.

Kehadiran wabak ini adalah sesuatu yang baharu, dan setiap negara sedang berusaha memeranginya dengan pelbagai kaedah. Bukan sekadar duduk ketuk keyboard dan tunjuk pandai. Kenapa kau saja tak jadi Pak Menteri?

Jadi jangan kacau tugas pemerintah dan jangan tulis artikel sampah.

Ketua Editor dan Pengendali,
Terengganu Voice

Nota: Pihak Terengganu Voice tidak berniat hendak mempromosikan pautan artikel tersebut namun atas etika penulisan terpaksa berbuat demikian. Sila lontarkan pendapat anda pula di ruangan komen di bawah.  




cpn
 
Top