Menu



KUALA TERENGGANU - Kakitangan dan orang awam yang berada di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu gempar apabila terhidu bau hangit sewaktu prosiding sedang berjalan pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, semua kakitangan mahkamah dan orang awam yang berada di kompleks itu diarahkan keluar dari bangunan bagi tujuan keselamatan dan pemeriksaan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.56 pagi.

"Seramai 15 anggota dengan 2 jentera dikejarkan ke lokasi kejadian dan pihak bomba sampai pada jam 12 tengah hari.

"Apabila sampai di lokasi kejadian, kita dapati terdapat kepulan asap di tingkat tujuh melibatkan pejabat kewangan.

"Bagaimanapun, setelah pemeriksaan lanjut kita dapati ia hanya membabitkan kebakaran lampu kalimantang dan tidak melibatkan komponen lain," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Jelasnya, operasi tamat setelah 30 minit pemeriksaan dijalankan sebelum bomba membenarkan semua yang berkenaan memasuki bangunan dan meneruskan operasi seperti biasa.

Bagaimanapun, pasukan forensik bomba meneruskan siasatan bagi mengenalpasti punca kebakaran.


cpn
 
Top