Menu



Orang ramai yang mahu membuat perjalanan keluar dari negeri masing perlu memaklumkan kepada polis, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula tengah malam ini, sehingga 31 Mac depan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata mereka yang mahu membuat perjalanan keluar antara negeri, perlu mengisi Borang Kebenaran Rentas Negeri serta menyertakan dokumen pengesahan tentang keperluan membuat perjalanan berkenaan.

Katanya, borang khas itu boleh diisi di mana-mana balai polis berhampiran atau ibu pejabat polis daerah masing-masing bagi membolehkan pihak polis mengeluarkan surat pelepasan.

Beliau berkata, keperluan perjalanan itu hanya untuk mereka yang mempunyai urusan penting atau kecemasan sahaja dan tidak tertakluk untuk perjalanan dalam kawasan Lembah Klang.

"Keperluan ini juga tertakluk kepada mereka yang menggunakan perkhidmatan penerbangan dan pengangkutan awam (seperti bas ekspres, Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan kereta api).

"Bagaimanapun buat masa ini, pihak polis tidak membuat sebarang pemeriksaan dengan mengadakan sekatan jalan raya atau sebagainya.

"Namun kita nasihatkan orang ramai agar mengikuti arahan itu bagi mengelak dikenakan tindakan lebih tegas selepas ini," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Antara sebab yang dibolehkan membuat perjalanan rentas negeri termasuk kematian ahli keluarga terdekat, ahli keluarga sakit tenat, rawatan perubatan diri sendiri dan ahli keluarga dan lain-lain perkara atas pertimbangan ketua polis balai.

Jelas beliau lagi, keperluan itu tidak tertakluk kepada mereka yang berulang alik antara negeri untuk urusan kerja bagi mereka yang berada dalam sektor diklasifikasikan sebagai perkhidmatan penting dan hanya perlu mempunyai pas kerja yang sah.

"Dokumen (dokumen sokongan) itu penting untuk kita buat pemantauan, kerana kita mahu orang ramai mengurangkan sebarang perjalanan keluar masuk.

"Kita bukan mahu menyusahkan orang ramai tetapi jika kita tidak buat tindakan ini, akta ini (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) tidak akan tercapai," katanya.

Katanya, eksais berkenaan bertujuan mengurangkan orang keluar masuk dan seterusnya ada kontak dengan orang lain.

"Kalau tak maklum (pada polis) buat masa ini, tidak akan dihukum. Kalau nak bohong, bohonglah, tapi ini akan menyusahkan diri dan menyebabkan fasa seterusnya iaitu perintah berkurung," tegas beliau.

Ini kerana katanya, fasa tindakan polis seterusnya adalah bergantung kepada respons awam terhadap arahan itu dengan fasa seterusnya adalah amaran sebelum tindakan lebih drastik akan diambil.

"Kita telah diberikan kuasa di bawah Seksyen 5 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 20 Akta Polis 1967 (Akta 344) untuk menjalankan penguatkuasaan.

"Dalam eksais ini juga, sebarang bentuk pelanggaran di bawah PKP yang dikuatkuasakan esok hingga 31 Mac, ada beberapa kesalahan jenayah yang boleh diambil tindakan mengikut Akta 574 (Kanun Keseksaan)," jelas beliau.

Tambah beliau, orang ramai diminta sama-sama bertanggungjawab untuk menyekat penularan COVID-19 dan mematuhi segala Perintah Kawalan Pergerakan berkenaan.


cpn
 
Top