Menu



SEORANG pemandu lori meninggal dunia selepas tiba-tiba rebah di hadapan sebuah kedai runcit di Ajil, Kuala Berang hari ini.

Mohd Shobri Rani, 59, ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebelah keretanya pada jam 10.20 pagi tadi.

Mangsa sebelum itu dikatakan telah ke kedai runcit berkenaan untuk membeli barang dengan menaiki sebuah kereta Perodua Kancil.

Sebaik selesai membeli barangan di kedai tersebut, mangsa segera menuju ke keretanya sebelum dia tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

Orang awam yang melihat kejadian itu segera menghubungi polis dan hospital. Mangsa walaubagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan yang hadir ke tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap tubuh badan mangsa tidak menemui kesan luka atau perbuatan jenayah.

“Hasil maklumat daripada isteri mangsa memaklumkan lelaki terbabit mempunyai rekod rawatan kencing manis dan darah tinggi.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.


cpn
 
Top