Menu



KEMAMAN - Pemandu treler rentung setelah kenderaan berat yang dipandunya terbakar akibat bertembung dengan lori dalam kejadian di Kilometer 126 Jalan Jerangau-Jabor di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.15 pagi, mangsa, Megat Razak Mat Jusoh, 53 beralamat di Kampung Bukit Perpat Ajil, Hulu Terengganu tersepit di tempat duduk pemandu sebelum treler muatan kayu dipandunya terbakar.

Bagaimanapun anaknya, Megat Haniff Iqbal Megat Razak, 22, yang cedera parah berjaya dikeluarkan orang awam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa itu datang dari arah Jerangau menghala ke Jabor sebelum bertembung sebuah lori dari arah bertentangan.

"Apabila sampai di lokasi kejadian, lori yang dipandu dipercayai hilang kawalan lalu bertembung dengan treler berkenaan.

"Akibat perlanggaran itu, lori tersebut terbabas ke kanan jalan menyebabkan pemandunya tercampak keluar manakala treler dipandu mangsa hampir keseluruhannya telah terbakar.

"Mangsa yang tersepit dan terbakar di dalam kenderaan dan telah dikeluarkan anggota Balai Bomba Dan Penyelamat Chukai dan Cheneh manakala kelindan sempat keluar menyelamatkan diri," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat manakala pemandu lori mendapat rawatan di zon kuning Hospital Kemaman.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,"katanya.

Sumber: Sinar Harian



cpn
 
Top