Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ajil lemas
ketika mandi di Air Terjun Belukar Bukit (Lubuk Banman) berhampiran Pusat
Latihan Pelajaran MARA, di sini, hari ini.
Jenazah Muhammad Alif Hakimi Mohd Azman,15, dari Perumahan
Tok Randok, Ajil, ditemui jam 4.15 petang di dasar sungai kira-kira satu jam
selepas dia dilaporkan lemas.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan
Mohd Adli Mat Daud, berkata mangsa sebelum itu bersama sembilan rakan ke
kawasan berkenaan kira-kira jam 1.50 petang dengan menunggang lima motosikal.
Kumpulan itu, katanya, tiba di lokasi pada jam 2.50 petang
sebelum mangsa bersama seorang rakannya berusia 16 tahun mandi.
“Rakan-rakan yang lain berehat sambil menyaksikan dua rakan
mereka mandi sebelum mangsa tiba-tiba mengangkat tangan meminta tolong
kira-kira 10 minit kemudian.
“Mangsa yang dipercayai keletihan, tenggelam ke dasar sungai
manakala rakannya yang berada di tepi sungai segera mendapatkan pertolongan
daripada orang kampung.
“Mayat ditemui di dasar sungai pada jam 4.15 petang dengan
bantuan penduduk dan orang awam yang berada di tempat kejadian,” katanya ketika
dihubungi.
Mohd Adli berkata, jenazah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu
untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga dengan kes
diklasifikasikan mati mengejut.
