Menu



PEKERJA pelantar minyak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan merogol anak saudaranya berusia 15 tahun.

Tertuduh berusia 38 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Dungun, 8.15 pagi, 29 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan dikenakan sebatan tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Mazlan Md Zein.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 30 Mac hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri dua kali setiap sebulan di Balai Polis Paka serta tidak boleh mengganggu mangsa dan ahli keluarga terdekat sepanjang prosiding berlangsung.


cpn
 
Top