Menu



Mohd Harrif Saleh, pelumba basikal yang mewakili pasukan Terengganu Inc Cycling Team (TSG), mengakui keputusan majikannya menarik diri daripada menyertai lima jelajah perlumbaan di luar negara berikutan wabak koronavirus (Covid-19) adalah langkah tepat dan bijak.

Beliau berkata, jika perlumbaan itu diteruskan ia dikhuatiri akan memberi kesan negatif kepada barisan pelumba kerana kes yang disebabkan wabak itu semakin meningkat di seluruh dunia.

"Bagi saya langkah TSG membatalkan penyertaan lima siri jelajah itu adalah tepat dan bijak ketika penularan wabak itu kian meluas dan bertambah di seluruh dunia.

"Jika diteruskan ia dikhuatiri akan memberi kesan negatif buat pelumba selain kami sendiri sudah tentu bimbang daripada segi kesihatan dan keselamatan kerana pelumba yang hadir sudah pasti dari seluruh dunia.

"Lagipun kami tidak tahu sama ada pelumba yang hadir itu dijangkiti virus itu, jadi perlu dibendung daripada awal sebelum sesuatu berlaku.

"Jika nak ikutkan hati memang rugi buat pelumba dan pasukan kerana peluang untuk memperbaiki k pencapaian dan meningkatkan lagi prestasi, tapi bagi kami menarik diri lebih baik daripada bertanding kerana risikonya cukup besar.

"Bagi memastikan tahap kecergasan sentiasa berada dalam keadaan baik, sekarang kami menjalani latihan seperti biasa dalam negara dan sebaiknya begitu, mungkin jika keadaan pulih dan wabak itu sudah dapat dibendung, kami akan menyertai semula perlumbaan di luar negara," ujar Harrif yang cemerlang susulan merangkul kejuaraan dalam dua peringkat perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) bulan lalu.

Satu kenyataan yang dikeluarkan TSG semalam memaklumkan pihaknya terpaksa menarik diri daripada menyertai lima jelajah dalam tempoh terdekat atas faktor keselamatan dan kesihatan pelumbanya akibat penularan wabak Covid-19 yang semakin serius.

Pasukan bertaraf benua itu mengumumkan lima jelajah itu ialah BSB120 Brunei, Tour de Tochigi Jepun, GP Mediterannean Turkey, GP Justiniano Hotels Turkey dan Bieras A Serra da Estrela Portugal yang dijadualkan berlangsung sekitar Mac dan April 2020.





cpn
 
Top