Menu



Pertambahan satu kes sembuh dan discaj pesakit dari Pulau Kerengga hari ini menjadikan daerah Marang sebagai daerah Sifar Covid-19 yang kedua selepas Hulu Terengganu.

Daerah Marang sebelum ini mencatat satu kes positif koronavirus sejak wabak itu mula dikesan di negeri Terengganu dan terdapat pertambahan satu kes baharu pada 6 April 2020 menjadikan kes kumulatif di daerah itu berjumlah 2 kes, masing-masing di mukim Bukit Payung dan Pulau Kerengga.

Daerah Marang sebelum ini telah diisytihar sebagai Zon Hijau oleh Pentadbir Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal bin Tun Abdul Razak pada 20 April lalu berikutan tiada pertambahan kes baharu yang berlaku dalam tempoh 14 hari.

Terengganu kemudian terus mencatat beberapa lagi Daerah Zon Hijau apabila Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus juga turut memaklumkan daerah tanpa kes baharu dalam tempoh 14 hari sudah boleh diisytiharkan sebagai Zon Hijau.

Antara daerah terkini yang tersenarai dalam Zon Hijau adalah Hulu Terengganu, Marang, Kuala Nerus, Setiu, Kemaman dan Kuala Terengganu. Manakala Daerah Dungun dan Besut masing-masing kini sudah berada pada paras kuning berikutan pertambahan kes sembuh di kedua-dua daerah tersebut.

Tiada kes baharu direkod di negeri ini untuk tempoh 5 hari berturut-turut sejak 23 April lalu dan data menunjukkan jumlah kes kumulatif di Terengganu kekal berada sebanyak 110 kes.

Dari jumlah tersebut, kes aktif telah berkurangan sehingga 39 kes dan jumlah kes sembuh telah mencapai sebanyak 70 kes.








cpn
 
Top