Menu



Lima daerah di Terengganu boleh diisytiharkan sebagai zon hijau berikutan tiada pertambahan kes terbaru yang dilaporkan dalam tempoh 14 hari.

Demikian kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Dr Nor Azimi Yunus yang menyenaraikan lima daerah terlibat iaitu Hulu Terengganu, Marang, Kuala Nerus, Setiu dan Kemaman.

Menurutnya lagi, hanya daerah Hulu Terengganu merupakan satu-satunya daerah Zon Hijau yang mencatatkan sifar kes setakat ini, manakala empat lagi daerah akan diisytihar sebagai Zon Hijau secara berperingkat.

"Apabila tiada kes baharu dalam tempoh 14 hari, kita boleh katakan wabak di daerah berkenaan sudah berakhir.

"Bagaimanapun, mereka di daerah berkenaan masih perlu memberikan kerjasama dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana kita tidak mahu ia bertukar ke zon kuning, jingga atau merah.

Pihak JKNT turut mengucapan ribuan terima kasih kepada seluruh warga Terengganu di atas kerjasama yang baik sehingga berjaya menjadikan daerah mereka berada pada Zon Hijau.

Dr Nor Azimi turut menasihatkan agar orang ramai terus mempraktikkan amalan kerap membasuh tangan menggunakan sabun dan air atau cecair pembasmi kuman.

"Kita akan memasuki fasa keempat PKP dalam usaha memerangi wabak ini. InsyaAllah kita akan berjaya jika semua pihak beri kerjasama terbaik."

Sehingga kini, statistik menunjukkan terdapat 110 jumlah kes kumulatif di Terengganu dengan bilangan kes aktif berkurangan sehingga 54 kes sahaja.


cpn
 
Top