Menu



Bazar-bazar Ramadan akan dibenarkan beroperasi semasa bulan puasa seandainya pembekal dan pelanggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti jarak selamat dan kawalan kesesakan.

Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata demikian di satu sidang media pada Selasa (31 Mac) di mana beliau menegaskan bahawa selagi langkah berjaga-jaga dilaksanakan, maka bazar-bazar itu boleh diteruskan.

"Perkara paling penting adalah untuk mengamalkan jarak selamat. Semua langkah berjaga-jaga mesti diambil. Kawalan kesesakan adalah penting jadi saya fikir kita perlu melihat pelaksanaan keseluruhannya.

"Selagi mereka boleh mematuhi SOP, elak kontak dan mengamalkan jarak sesuai serta menyediakan kemudahan mencuci tangan, kami akan menasihati mereka tentang apa yang seharusnya dan tidak seharusnya dilakukan," kata beliau.

Apabila ditanya sama ada ia satu perkara yang bijak untuk mengadakan bazar-bazar Ramadan di tengah-tengah pandemik COVID-19, Dr Noor Hisham menjawab: "Ya, boleh. Sama seperti pasar tani dan pasar lain. Hanya perlu patuh jarak yang baik dan tidak ada kontak."

Bulan Ramadan dijangka bermula pada 23 April ini, sekitar 20 hari selepas tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan.

Baru-baru ini tiga buah negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Terengganu telahpun mengeluarkan arahan pembatalan Bazar Ramadhan bagi membendung wabak Covid-19.




cpn
 
Top