Menu



"DOH la babil, dang lagi yer wak nganjing gitu ke polih..."

Dua orang pemuda menerima padah apabila ditahan selepas mengejek polis supaya mengejar mereka Kampung Sungai Buaya, Dungun, semalam.

Kedua-dua suspek berusia 21 tahun yang tinggal di Kampung Seberang Pintasan dan Jalan Sekolah Kebangsaan Pusat itu ditahan pada kira-kira 2.30 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sebelum itu, sepasukan anggota polis sedang melakukan tugas rondaan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan Padang Jambu dan terserempak dengan kedua-dua suspek yang menaiki motosikal tanpa topi keledar dalam keadaan laju.

Anggota polis kemudiannya mengarahkan mereka supaya berhenti namun suspek terus memecut motosikal ke arah Jalan Nibong Stesen dalam keadaan melulu dan merbahaya untuk melepaskan diri.

“Ketika kenderaan polis cuba menghampiri motosikal suspek dan mengarahkan mereka berhenti, suspek dengan berani menghimpit kereta polis sehingga tercalar.

“Suspek yang membonceng motosikal mempersendakan anggota dengan melambai-lambai tangan supaya anggota polis terus mengejar mereka,” katanya.

Sebaik tiba di Jalan Sungai Buaya, anggota polis berjaya memintas kenderaan suspek dan menyekat motosikal itu.

“Ketika cuba ditahan, kedua-dua suspek melawan untuk melepaskan diri dan berlaku pergelutan sebelum berjaya ditangkap.

“Kedua-dua suspek bersama motosikal Honda EX5 itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk tindakan lanjut,” katanya.

Baharudin berkata, kedua-dua memberi alasan dari Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Dungun dan baru pulang dari menangkap ikan.

“Salah seorang suspek mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam serta melanggar Peraturan 3(4) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan) 2020.




cpn
 
Top