Menu



KADAR bayaran fitrah untuk umat Islam di Terengganu pada tahun ini telah ditetapkan pada RM7 seorang.

Perkara ini dimaklumkan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Osman Muda. Menurutnya, kadar itu adalah bersamaan dengan nilai satu gantang Baghdad atau 2.60 kilogram atau 2.97 cupak beras.

Pembayaran zakat pula boleh dibuat secara tunai kepada amil bertauliah dan pembayaran dalam talian menggunakan aplikasi Snap & Pay.

Aplikasi tersebut boleh dimuat turun menerusi ‘Google Play’ dan ‘Play Store’, kaedah pembayaran melalui ‘Financial Process Exchange’ (FPX)  pula boleh diakses menerusi portal rasmi MAIDAM di www.maidam.gov.my.

“Pembayar juga boleh menggunakan saluran perbankan Internet yang dilantik oleh MAIDAM dan maklumat berkaitan boleh diperoleh di www.maidam.gov.my.

“Pihak MAIDAM menggalakkan umat Islam melaksanakan pembayaran zakat dan fitrah secara atas talian untuk disesuaikan dengan keadaan (negara) sekarang yang sedang dilanda wabak Covid-19,” katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Osman berkata, pembayar yang tertakluk di bawah arahan kuarantin dinasihati supaya mewakilkan bayaran zakat fitrah dibuat oleh seorang wakil atau secara atas talian.

Tambahnya lagi, MAIDAM juga turut mengenakan peraturan ketat ke atas prosedur penerimaan zakat oleh amil pada tahun ini.

“Amil dikehendaki mematuhi peraturan kerajaan dengan melakukan jarak sosial, memakai penutup hidung dan mulut serta tidak berjabat tangan dengan pembayar ketika urusan pembayaran dan penerimaan zakat,” katanya.




cpn
 
Top