Menu



Syarikat pelopor perkhidmatan penghantaran di Terengganu dan Pantai Timur, Getmove Sdn Bhd menerusi perkhidmatannya, Getrunner komited membuat penghantaran kepada pelanggan terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Menurut pengarah urusannya, Ziyad Yazid, 24; lebih daripada 2000 perkhidmatan penghantaran telah dibuat oleh Getrunner sepanjang tempoh PKP dalam memastikan pengguna yang menghadapi kesulitan untuk keluar rumah terus mendapat bekalan keperluan harian.

Katanya lagi, perkhidmatan penghantaran yang turut tersenarai sebagai perkhidmatan keperluan awam merupakan antara tonggak penggerak bagi memastikan sebarang keperluan pengguna dapat dipenuhi tanpa perlu melanggar Perintah Kawalan Pergerakan.

Selain membantu penduduk setempat dengan kemudahan penghantaran, Getrunner juga menyasarkan perantau yang tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk memudahkan urusan penghantaran keperluan kepada keluarga mereka.

"Kita sedar ada perantau di beberapa negeri yang bimbangkan keselamatan dan keperluan orang tua mereka di kampung, khususnya di Pantai Timur. Dengan adanya perkhidmatan penghantaran dari Getrunner, perantau tidak perlu bimbang dalam memastikan agar keperluan harian sampai ke tempat yang dituju" ujarnya.

Walaupun penghantar-penghantar terpaksa berhadapan dengan risiko terdedah kepada wabak koronavirus Covid-19, soal keselamatan dan kebersihan amatlah dititikberatkan oleh pihak pengurusan syarikat antaranya mengingatkan penghantar agar kerap membasuh tangan dan membawa 'hand sanitizer' bersama untuk tujuan sanitasi dalam melakukan setiap penghantaran atau transaksi.

Ziyad turut menjangkakan perkhidmatan penghantarannya akan bertambah sibuk dalam masa terdekat berikutan pembatalan Bazar Ramadhan di beberapa buah negeri termasuk di Terengganu.

Justeru pengurusan syarikat kini telah mengambil langkah-langkah persediaan dengan menambah kapasiti penghantar di beberapa tempat baharu.

Perkhidmatan Getrunner kini telah diperluaskan ke daerah-daerah di beberapa negeri, antaranya di seluruh Terengganu kecuali Kemaman, Besut, dan Setiu yang bakal beroperasi tidak lama lagi; Kota Bharu, Kelantan dan Kulim, Kedah dengan sejumlah 150 penghantar berdaftar.




cpn
 
Top