Menu



Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya memperuntukkan tiga hari sekiranya orang awam hendak melakukan perjalanan di antara negeri bagi tujuan-tujuan yang dibenarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula dari 1 hingga 3 Mei 2020.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed; mereka yang ingin melakukan perjalanan antara negeri perlulah mengemukakan permohonan melalui aplikasi Gerak Malaysia mulai hari ini.

"Bagi yang tidak ada aplikasi Gerak Malaysia, mereka perlu buat permohonan bertulis untuk kebenaran perjalanan di Balai Polis berdekatan. Namun keutamaan perjalanan akan diberikan kepada pengguna aplikasi Gerak Malaysia."

Pemohon yang membuat permohonan menerusi aplikasi Gerak Malaysia perlu mengemaskini permohonan pada 29 April untuk mengesahkan destinasi perjalanan dan semakan status permohonan.

Pengguna jalanraya yang diberi kebenaran untuk membuat perjalanan antara negeri kelak, juga diingatkan untuk merancang perjalanan dan mengikuti syarat-syarat yang ditetapkan. Bagi pengguna lebuhraya, tiada sebarang kemudahan kedai makanan yang akan disediakan di kawasan rehat dan rawat RnR. Manakala surau-surau juga akan ditutup dan sebarang aktiviti solat berjemaah di dalam kawasan bangunan, kawasan lapang, tempat letak kereta dan lain-lain adalah tidak dibenarkan dan hanya fasiliti tandas awam sahaja yang boleh digunakan sepanjang tempoh perjalanan tersebut.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan bahawa rakyat Malaysia yang berada di kampung dan ingin pulang ke kediaman masing-masing perlu membuat permohonan serta mendapatkan kebenaran dari pihak polis.

Foto FB Polis Terengganu




cpn
 
Top