Menu



HULU TERENGGANU dikatakan sebagai daerah paling patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak perintah tersebut dilaksanakan. Sehingga hari ini, tiada sebarang tangkapan dibuat di Hulu Terengganu sejak kerajaan menguatkuasakan PKP bagi membendung penularan wabak Covid-19, 18 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, beliau berharap angka sifar itu berterusan sehingga tamat PKP Fasa Dua sehingga 14 April ini.

“Tindakan tegas penguatkuasaan selain bimbang dijangkiti wabak berkenaan menyebabkan orang ramai memilih untuk berada di rumah sepanjang perintah kawalan ini.

“Mereka tidak keluar sesuka hati untuk melepak, sebaliknya untuk urusan yang betul-betul mustahak sahaja.

“Enggan masuk lokap atau dipenjara juga menjadi sebab mereka patuh perintah ini,” katanya.

Katanya, pematuhan dalam kalangan warga FELDA juga tinggi apabila kawasan berkenaan lenggang daripada sebarang aktiviti.

“Terdapat tiga penempatan Felda di daerah ini iaitu Felda Tersat, Mengkawang dan Jerangau.

“Masyarakat dan pemimpin di kawasan ini memberi kerjasama apabila turut memberi nasihat dan teguran sekiranya ada dalam kalangan mereka yang mengingkari PKP,” katanya.

Mohd Adli berkata, secara purata sebanyak 650 kenderaan diperiksa setiap hari di enam Sekatan Jalan Raya (SJR), masing-masing dua di bandar Kuala Berang dan pekan Ajil, manakala satu di Telemong yang beroperasi selama 24 jam dan Kuala Ping yang beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam.

“Selepas 6 petang, keadaan jalan raya lengang kerana tiada aliran kenderaan pada waktu itu sehingga jam 7 pagi,” katanya.



cpn
 
Top