Menu



SEORANG lelaki berstatus suami telah ditahan bersama wanita yang juga isteri orang dalam pemeriksaan Op Covid-19 di Hulu Terengganu, kelmarin.

Pasangan berumur 41 dan 28 tahun itu ditahan ketika duduk berdua-duaan dalam sebuah kereta yang dipercayai milik lelaki terbabit di kawasan Kampung Tok Gebok, Ajil, jam 2 petang.

Lelaki tersebut, dari Kampung Bukit Payung, Marang memberikan alasan mahu menghantar wanita itu ke sebuah klinik di pekan Ajil, bagi tujuan mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Mohd Adli Che Daud berkata, alasan tidak kukuh dan mencurigakan menyebabkan pasangan itu ditahan kerana sengaja mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa ketiga bermula sejak Rabu lalu.

“Siasatan mendapati wanita itu tinggal di Kampung Kolam, Kuala Ibai, Kuala Terengganu yang jaraknya lebih 30 kilometer (km) dari pekan Ajil,” katanya ketika dihubungi.

Tangkapan terhadap dua individu terbabit adalah kes ingkar PKP yang pertama di daerah Hulu Terengganu sejak perintah tersebut dilaksanakan 18 Mac lalu.




cpn
 
Top