Menu



Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dijangka akan membentangkan beberapa Piawaian Prosedur Operasi (SOP) baharu termasuklah kebenaran bagi orang Islam menunaikan solat Jumaat atau tarawih di Masjid dan surau. Mesyuarat tersebut yang akan berlangsung esok akan melibatkan semua kementerian.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pihak kerajaan amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh rakyat dan pengumuman berkaitan SOP tersebut akan diumumkan oleh beliau sendiri esok atau pada hari Jumaat ini.

Beliau turut mengulas berkenaan keresahan rakyat berhubung kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang memberi kebenaran syarikat-syarikat tertentu untuk beroperasi sedangkan pusat-pusat penjagaan kanak-kanak masih tidak dapat dibuka untuk pekerja yang terlibat.

"Kita faham ada ibu bapa bekerja dan tidak ada sesiapa menjaga anak mereka. Perkara ini akan dibincangkan esok oleh semua kementerian bagi mengeluarkan perincian SOP. Semua kementerian akan mencadangkan SOP mereka.

Tambahnya, pelbagai persoalan telah ditimbulkan apabila terdapat beberapa kelonggaran dalam PKP fasa keempat dan setiap satu sebenarnya akan dilaksanakan secara berperingkat.

"Ada juga yang bertanya adakah solat tarawih dibenarkan dengan syarat kita mengamalkan jarak satu meter dan begitu juga dengan solat Jumaat"

Dalam pada itu, menurutnya, beliau telah menerima surat cadangan dan permohonan untuk menyambung semula kempen Liga Malaysia daripada Kementerian Belia dan Sukan.

"Perkara ini juga akan kita bincangkan dan jika dibenarkan kita akan sediakan SOP. Namun seperti saya maklumkan sebelum ini buat masa sekarang perlawanan bola sepak Liga Malaysia adalah tidak dibenarkan," katanya.




cpn
 
Top