Menu



Seramai 274 orang pelajar tahfiz dari Madrasatul Quran, Kubang Bujuk hari ini telah dihantar pulang ke negeri asal masing-masing setelah disahkan bebas dari koronavirus Covid-19 dan menamatkan tempoh kuarantin yang ditetapkan.

Perkara ini dinyatakan menerusi sebuah hantaran di laman Facebook Polis Daerah Kuala Terengganu yang memaklumkan perjalanan pulang para pelajar tersebut telah diatur oleh pihak Kerajaan Negeri Terengganu.

Pemantauan pergerakan keluar bagi menghantar pulang para pelajar tersebut disertai oleh Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Abdul Rahim Bin Md Din dan diiringi Pegawai Medan Operasi Covid 19 Daerah Kuala Terengganu, DSP Raja Mustapa Bin Raja Semail (Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah Kuala Terengganu).

Sebanyak enam buah bas dan tiga buah van yang digunakan untuk menghantar pulang mereka yang terlibat ke negeri asal masing-masing. Turut hadir sama ialah Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Encik Zulkifli Bin Ali, dan YB ADUN Alur Limbat, Ustaz Ariffin Bin Deraman.

Media sebelum ini melaporkan 87 penghuni madrasah di Kubang Bujuk di sini telah dikuarantin selepas disyaki dijangkiti koronavirus (Covid-19). Madrasah itu dihuni lebih 300 orang, termasuk pelajar, tenaga pengajar dan staf sokongan.







cpn
 
Top