Menu



Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) baru-baru ini telah menyenaraikan beberapa sektor tambahan yang boleh dibuka sepanjang PKP termasuk perkhidmatan menggunting rambut.

Namun kebenaran bagi perkhidmatan tersebut telah mengundang reaksi kurang senang dari pelbagai pihak termasuklah Kementerian Kesihatan Malaysia di mana Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah juga berpendapat operasi kedai gunting rambut perlu ditangguhkan sementara bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Susulan itu, pihak berkuasa tempatan, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dalam suatu kenyataan pada hari ini turut mengeluarkan larangan kepada kedai gunting rambut daripada beroperasi sepanjang PKP.

Bagi pemilik kedai gunting rambut The Groomerz Barbershop, Encik Roslan Mohamad menerusi suatu hantaran di laman media sosial Facebook turut berkata operasi mana-mana kedai gunting rambut tidak wajar diteruskan buat sementara waktu.

Biarpun berita itu pada mulanya menggembirakan hatinya, namun selepas difikirkan beberapa faktor yang mungkin mengundang ancaman kepada penularan Covid-19, Roslan turut mengambil keputusan untuk tidak meneruskan operasinya.

Menurutnya, kes kematian tukang gunting di luar negara akibat Covid-19 wajar diambil sebagai iktibar dan operasi kedai gunting hanya akan mengundang risiko jangkitan kerana jarak sosial dan sentuhan fizikal mustahil dapat dijaga dengan baik.

"Kita tak tahu siapa positif covid sebab ada je yang positif tapi takde simptom..."

Tambahnya lagi, proses nyahkuman peralatan setiap kali menggunting akan mengambil masa dan tidak berbaloi bagi pelanggan dan peniaga. Namun baginya, apa yang lebih penting ialah nyawa dan keselamatan para pekerja.

"Duit tak boleh beli nyawa, saya bimbangkan anak isteri dan keluarga tukang gunting, mungkin juga anak isteri pelanggan, nauzubillah"

" Saya fikir inilah masanya saya kena berkorban untuk rakyat Malaysia. Biarlah saya rugi ratusan ringgit sehari pun demi nyawa seluruh rakyat Malaysia."




cpn
 
Top