Menu



MENTERI Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini sekali lagi memberi pencerahan berhubung kebenaran yang diberikan kepada e-hailing dan syarikat perkhidmatan penghantaran berikutan kekeliruan orang awam terutamanya peniaga-peniaga yang hendak membuat penghantaran makanan kepada pelanggan.

Terdahulu, beliau menegaskan bahawa sehingga ke hari ini, bazar Ramadhan adalah tidak dibenarkan untuk beroperasi termasuklah gerai-gerai jualan. Manakala bagi tujuan perkhidmatan e-hailing atau penghantaran, kini terdapat lebih dari 40 syarikat berdaftar yang menyediakan perkhidmatan tersebut dan dibenarkan untuk beroperasi.

“Lebih 40 syarikat itu dibenarkan untuk terus beroperasi, termasuk penghantar makanan di restoran-restoran fast food atau makanan segera.

“Semua yang melibatkan riders daripada syarikat manapun, dibenarkan beroperasi menghantar makanan dan sebagainya,” ujarnya.

Sebagai tambahan, memandangkan sebilangan syarikat-syarikat e-hailing dan penghantar berdaftar terhad beroperasi hanya di sekitar bandaraya dan tidak ada di bandar-bandar kecil, pihak kerajaan juga telah memutuskan untuk membenarkan operasi penghantaran makanan dari syarikat kecil dan individu.

“Mungkin mereka ada syarikat sendiri atau individu (yang) diupah untuk hantar makanan."

“Mereka termasuk dalam keputusan, untuk (dibolehkan) menghantar makanan walaupun dari syarikat kecil, bandar kecil atau individu, kita benarkan beroperasi." ujarnya lagi.

Walaubagaimanapun, semua penghantar makanan tertakluk kepada syarat seperti perlu menjalani ujian saringan kesihatan di mana-mana klinik kesihatan awam dan swasta. 

Penghantar makanan di bandar-bandar kecil juga mestilah mendaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memudahkan pengesanan jika ada kes positif COVID-19.

“Kita mahu menjaga kesihatan mereka kerana mereka yang hantar direct makanan kepada pelanggan dan bersemuka."

Tambahnya lagi, Kementerian Pengangkutan juga akan mengeluarkan arahan kepada lebih 40 syarikat yang mengendalikan operasi e-hailing agar pekerja yang terbabit, menjalani saringan kesihatan.





cpn
 
Top