Menu



Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini sekali lagi menegaskan bahawa perantau yang sedang berada di bandar adalah tidak dibenarkan sama sekali untuk pulang ke kampung halaman menjelang Ramadhan ini.

Beliau berkata, kebenaran yang diberikan oleh kerajaan baru-baru ini hanyalah untuk mereka yang terkandas di kampung dan ingin pulang ke kediaman masing-masing di bandar dan ibukota.

Walaubagaimanapun, perkara tersebut katanya masih belum dimuktamadkan sementara menunggu keputusan perbincangan dari semua pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Ada yang keliru... yang ada di bandar mahu balik ke kampung tidak dibenarkan sebab ramai akan balik ke kampung untuk sambut Ramadan. Jadi tidak boleh ada pergerakan dari bandar ke kampung buat masa ini.

"Yang saya sebut semalam, mana-mana pihak yang terperangkap di kampung selepas kerajaan melaksanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dua bulan lalu. Ini yang kita (mungkin) benarkan," katanya dalam sidang media harian pada Khamis.

Jelasnya, mereka yang mahu bergerak melakukan perjalanan ke luar daerah perlulah membuat permohonan menerusi apikasi GerakMalaysia atau ke balai polis berhampiran bermula 25 April ini.

Ini bertujuan mengumpul maklumat yang jelas berhubung jumlah orang awam yang ingin melakukan pergerakan dari kampung ke Kuala Lumpur atau mana-mana bandar lain.

"Selepas kita dapat, kita akan serahkan kepada KKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk berbincang. Kita jangka paling lewat kita dapat maklumat daripada PDRM pada 1 Mei ini.

"Sekiranya semua pihak bersetuju untuk benarkan pergerakan ini, kita akan sediakan prosedur operasi standard (SOP) ketat bagaimana cara nak pastikan tiada pergerakan yang besar ke ibu kota," tambahnya.


cpn
 
Top