Menu



Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Terengganu hari ini mengeluarkan beberapa garis panduan berbentuk jawapan kepada soalan lazim oleh peniaga-peniaga yang ingin menjalankan perniagaan pada bulan Ramadhan.

Menurut hebahan di beberapa laman media sosial PBT Terengganu, sebarang bentuk perniagaan di hadapan rumah ataupun bahu jalan adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Manakala bagi peniaga yang berhasrat untuk menjual makanan yang dimasak dari rumah secara kaedah atas talian atau online pula disaran untuk menggunakan aplikasi yang dibangunkan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), GanuShop.

Pun begitu, peniaga juga masih boleh menggunakan aplikasi-aplikasi tempatan yang lain di antaranya Hungga Mart, EvenzMy, dan Bazar Online Terengganu (BOT) yang turut menyediakan kemudahan penghantaran.

Bagi peniaga yang memiliki restoran atau premis kedai makanan dengan lesen PBT, pemilik boleh menjalankan perniagaan secara kaedah pembungkusan dan bawa pulang. Manakala perkhidmatan penghantaran oleh pemilik premis atau restoran perlulah berdaftar dengan PBT.

Penghantar yang sudah berdaftar dengan PBT perlulah mendaftar pula dengan aplikasi MySejahtera melalui pautan MySejahtera.Malaysia.gov.my sebagaimana saranan kerajaan baru-baru ini

Syarikat-syarikat E-Hailing yang telah berdaftar tidak perlu lagi mendaftarkan penghantar dengan PBT.

Berhubung suntikan typhoid pula, ianya hanya disyaratkan kepada pengendali makanan yang terlibat dalam proses penyediaan makanan sahaja dan tidak melibatkan penghantar makanan.

Waktu operasi yang dibenarkan untuk penghantaran adalah bermula jam 3 petang hingga 7 malam bagi makanan siap, manakala perkhidmatan penghantaran bagi lain-lain barangan keperluan sempena bulan Ramadhan adalah dihadkan dari jam 7 pagi hingga 7 petang.

Syarat bagi penghantaran adalah dalam lingkungan 10 kilometer sahaja dan penghantar dari suatu daerah itu tidak boleh melepasi ke daerah lain. 

Mendirikan kanopi di hadapan rumah untuk tujuan meletakkan jualan yang akan dihantar oleh penghantar adalah dibenarkan dengan syarat ianya tidak beroperasi sebagai tapak jualan.

Sebarang pertanyaan lanjut, orang awam boleh terus menghubungi Bahagian Perlesenan PBT di daerah masing-masing:

Sumber : Facebook Majlis Bandaraya Kuala Terengganu | MBKT : 096271166 / 096271206





cpn
 
Top