Menu



PIHAK polis akan membuat tangkapan terhadap individu yang didapati masih berada di luar rumah selepas jam 8 malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang masih berdegil kecuali atas urusan kecemasan.

"Sudah hampir sebulan PKP dilaksanakan, kita lihat masih ada memberi alasan tidak logik sebagai seperti mahu beli air, makanan, barangan dan sebagainya walaupun masing-masing sudah tahu premis perniagaan beroperasi sehingga jam 6 petang sahaja.

"Jadi bermula hari ini, kita tahan mana-mana individu yang berada di luar rumah mereka tanpa alasan kukuh selepas jam 8 malam kita akan tangkap," katanya.

Beliau bekata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)Terengganu di sini hari ini.

Roslee turut berkata, pemantauan oleh PDRM mendapati terdapat pertambahan kenderaan sehingga 9,000 sejak semalam.

Pertambahan itu berkemungkinan disebabkan oeh beberapa premis perniagaan yang sudah dibenarkan beroperasi seperti bengkel kereta dan peralatan pertukangan.

"Sebelum ini, jumlah kenderaan di atas jalan di negeri ini sepanjang PKP antara 5,000 hingga 6,000 kenderaan sahaja," katanya ketika diminta mengulas mengenai beberapa video dan gambar tular menunjukkan kesesakan lalu lintas di negeri ini

Pihaknya menerima pelbagai alasan yang boleh dianggap munasabah, namun berharap rakyat Terengganu jujur dengan diri sendiri bagi kelancaran urusan pihak berkuasa dalam menjalankan tugas.

"Sehingga hari ini, sebanyak 134 kompaun ingkar PKP dikeluarkan sejak 8 April ini," katanya.




cpn
 
Top