Menu



KERAJAAN Negeri Terengganu berhasrat mewujudkan bazar Ramadan dalam talian atau e-Bazar Ramadhan bagi membantu peniaga menjual pelbagai juadah berbuka puasa, pada tahun ini.

Cadangan itu diketengahkan selepas kerajaan negeri membuat keputusan membatalkan penganjuran bazar Ramadhan di Terengganu pada tahun ini.

EXCO Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Abd Rahman menjelaskan, cadangan perlaksanaan tersebut akan dipantau oleh Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).

Jelasnya, pusat khidmat di 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dilantik sebagai pentadbir kepada bazar Ramadan atas talian yang diwujudkan kerajaan negeri.

“Penerangan kaedah penggunaan sistem bazar Ramadan dalam talian itu akan dilakukan kepada semua petugas Teknologi Maklumat (IT) di pusat khidmat DUN,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Mohd Nurkhuzaini juga menjelaskan bahawa peniaga yang berminat untuk menyertai bazar itu boleh mendaftar untuk menggunakan kemudahan berkenaan melalui sistem yang akan diwujudkan pada minggu kedua bulan depan.

Jelasnya lagi, bagi memudahkan transaksi antara peniaga dan pengguna, semua urus niaga boleh dilakukan menerusi melalui e-tunai atau e-wallet.

Ketika mengulas inisiatif bagi membantu peniaga yang terjejas teruk berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mohd Nurkhuzaini menjelaskan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM4 juta untuk membantu golongan berkenaan.

Jelasnya, peruntukan untuk kemudahan peniaga mendapatkan pinjaman tanpa faedah itu disalurkan kepada Tabung Pemulihan Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS).

“Peniaga boleh mengemukakan permohonan pinjaman tanpa faedah menerusi tabung dikelolakan YPU,” katanya lagi.

Menurut rekod, terdapat sejumlah kira-kira 7,800 peniaga Bazar Ramadhan yang berdaftar di negeri Terengganu dengan jumah tertinggi peniaga adalah dari Kuala Terengganu yang terdapat hampir 3,500 peniaga berdaftar.





cpn
 
Top