Menu



Syawal bakal menjelang tak lama lagi, walaupun sambutan perayaan tahun ini mungkin agak berbeza berikutan penularan wabak Covid-19, persiapan warga Kuala Terengganu bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tetap diteruskan.

Terengganu Voice telah mengunjungi cawangan gedung pakaian jenama terkemuka di Malaysia, Jakel Dataran Austin, Gong Badak bagi meninjau persiapan awal yang dilakukan oleh penduduk setempat petang semalam.

Kehadiran penulis ternyata menyanggah pendapat yang mengatakan tiada keperluan untuk berpakaian cantik dan baru pada Aidilfitri kali ini setelah melihat kehadiran orang ramai yang sanggup beratur menunggu giliran di hadapan premis tersebut.


Gedung pakaian Jakel Gong Badak mula dibuka semula sejak 4 Mei lalu selepas kerajaan memberikan kebenaran kepada sektor-sektor tertentu untuk beroperasi.

Gedung pakaian yang sentiasa menjadi tumpuan orang ramai setiap kali tiba musim perayaan ini tetap tidak suram biarpun negara masih dalam tempoh menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Walaupun menerima jumlah pelanggan yang ramai sepanjang dibuka, Gedung Jakel Gong Badak tetap melaksanakan SOP Cegah Covid-19 dengan tegas dan teliti.


Selain diwajibkan untuk memeriksa suhu badan, setiap pelanggan juga disaran memakai topeng muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman yang disediakan sebelum dapat memasuki premis itu.

Para pelanggan juga diminta mengisi nama dan nombor telefon sebagaimana arahan yang ditetapkan kerajaan sebagai langkah memudahkan pengesanan jika terdapatnya kes Covid-19.



Menurut Pengurus Senior Jakel Cawangan Dataran Austin, Gong Badak, Amir Izzuddin Abd Malik, 30; jumlah kehadiran pelanggan tetap memberangsangkan biarpun tidak sama dengan tahun-tahun yang sebelumnya.

Pelbagai usaha telah dibuat oleh pihak pengurusan Jakel Gong Badak bagi memastikan syarat-syarat dan garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan sentiasa dipatuhi selain juga bertungkus lumus dalam memenuhi keselesaan para pelanggan. 


Katanya, bagi mengelakkan orang ramai dari bersesak-sesak, Jakel Gong Badak turut memaklumkan tiada lagi “Happy Hour” seperti tahun-tahun sebelumnya.

Namun menyedari ianya sesuatu yang ditunggu-tunggu pelanggan pada setiap tahun, pihak Jakel menggantikannya dengan menyediakan pelbagai potongan harga yang menarik khusus untuk pelanggan-pelanggannya. 

“Baju-baju Melayu berjenama juga terdapat potongan harga dan dijual dengan yang rendah sehingga RM149 sepasang, jauh lebih murah dari dulu”


Tambahnya, konsep tawar menawar oleh Jakel sejak dulu adalah antara faktor mengapa gedung itu sentiasa menjadi pilihan orang ramai setiap kali menjelang lebaran.

Bagi kelancaran pelanggan berurusniaga, pihak pengurusan Jakel Gong Badak memaklumkan bahawa hanya dua orang wakil dari sebuah keluarga yang dibenarkan masuk untuk membeli kelengkapan pakaian raya manakala kanak-kanak di bawah usia 12 tahun tidak dibenarkan masuk.

Pelanggan juga disaran bersedia dengan jenis, saiz dan warna pilihan jika mahu berurusniaga dengan pantas dan selesa kerana Jakel Gong Badak juga menempatkan pekerja untuk melayani pelanggan yang sedang beratur di luar premis bagi bertanyakan jenis, warna dan saiz pakaian yang dikehendaki bagi mengurangkan masa menunggu. 


Jakel turut menyediakan kaunter pertukaran jika pelanggan ingin menukar saiz atau baju yang rosak.

“Setiap baju yang ditukar tidak akan dijual semula dan terus dipek untuk dihantar ke kilang”

“Ini juga merupakan usaha bagi membendung jangkitan wabak selain mementingkan kesihatan pelanggan di gedung ini”



Gedung Jakel Gong Badak dibuka bermula jam 10.00 pagi hingga 9.30 malam. Ianya ditutup sementara untuk waktu berbuka puasa dari jam 6.00 petang hingga 8.00 malam.

Mungkin ada yang berpendapat bahawa norma baharu ini merupakan sesuatu yang sangat melecehkan. Namun usaha memutuskan rantaian wabak ini akan terus menjadi tanggungjawab bersama walaupun dalam menyambut musim perayaan. Semoga kemeriahan sambutan Aidifitri tetap dirasai.






cpn
 
Top