Menu



Kerajaan Negeri Terengganu akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sepertimana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yaasin Jumaat lalu.

Perkara ini telah dimaklumkan menerusi suatu kenyataan media oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri bin Mokhtar.

Menurutnya, keputusan ini telah diambil oleh pihak Kerajaan Negeri sebagai usaha bagi menyelamatkan ekonomi rakyat dan negeri yang telah terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sebelum ini.

Tambahnya lagi, langkah ini juga berasaskan kebajikan kepada rakyat selain mendapati perkembangan terkini kes COVID-19 di Terengganu semakin bertambah baik.

Walaupun Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan PKPB dalam masa terdekat, namun rakyat masih perlu mematuhi Piawaian Prosedur Operasi (SOP) serta beberapa garis panduan keselamatan yang ditetapkan.

Kerajaan Negeri juga tidak akan teragak-agak untuk menarik semula kebenaran atau membuat perubahan pada PKPB supaya kembali lebih ketat sekiranya pematuhan Piawaian Prosedur Operasi (SOP) adalah di tahap rendah dan memberi kesan pada status kesihatan rakyat.

Kerajaan Negeri tetap memandang serius akan pelaksanaannya dan terus komited dengan apa sahaja langkah pencegahan, terutama pematuhan yang ketat SOP yang akan dinilai dari semasa ke semasa.

Semua pihak juga perlu memainkan peranan terutamanya agensi dan jabatan kerajaan, termasuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan setiap keluarga untuk melaksanakan kawalan sendiri dan pematuhan SOP adalah sangat diperlukan.



cpn
 
Top