Menu



Kerajaan Negeri Terengganu hari ini memberikan kebenaran kepada orang awam untuk makan di premis makanan atau restoran susulan kes wabak yang direkod sudah pulih sepenuhnya. Kebenaran ini juga diberikan berikutan sudah tiada peningkatan kes baharu di Terengganu yang kini berstatus negeri zon hijau.

Berita gembira itu dimaklumkan oleh EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar; Dr Alias Razak dalam satu sidang media berhubung kebenaran kepada perniagaan-perniagaan semasa PKPB di Wisma Darul Iman sebentar tadi.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri juga mengambilkira faktor bahawa orang ramai sudah mula bekerja semula di beberapa sektor yang dibenarkan, maka terdapat keperluan bagi pekerja-pekerja untuk makan di premis makanan seperti kantin ataupun restoran bagi menjimatkan masa rehat yang terhad.

Beliau bagaimanapun menegaskan premis makanan dan restoran perlulah mematuhi SOP standard yang dikeluarkan oeh Majlis Keselamatan Negara seperti menjaga jarak sosial selain peralatan masakan perlulah dinyahkuman serta mengehadkan bilangan pelanggan yang memasuki premis masing-masing bagi mengelakkan wujudnya wabak kuster baharu.

Premis-premis makanan dan restoran ini juga telah diberi kebenaran untuk beroperasi dari jam 7 pagi sehingga 10 malam sahaja.

Dr Alias turut mengulas berkenaan beberapa premis perniagaan yang lain seperti Klinik Swasta, Farmasi dan Pasaraya yang sudah diberi kebenaran beroperasi mengikut waktu lesen yang dikeluarkan oleh PBT masing-masing sebagaimana waktu perniagaan biasa sebelum PKP dilaksanakan. 

Waktu perniagaan untuk syarikat peralatan telekomunikasi dan telco yang hanya dibenarkan untuk beroperasi sehingga jam 4 petang sebelum ini juga telah dipinda dan kini diberi kebenaran untuk beroperasi sehingga jam 8 malam.

Kerajaan Negeri bagaimanapun masih belum memberikan kebenaran untuk beroperasi bagi kedai gunting rambut dan meminta pengusaha agar bersabar menunggu keputusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negra selepas tamat tempoh PKPB.

Berhubung kebenaran berniaga bagi pasar malam dan pasar minggu pula, Dr Alias berkata perkara itu masih dibawah penelitian dan kajian oleh pihak kerajaan negeri selain sedang mengenalpasti tapak kebenaran pasar minggu di setiap daerah yang boleh dijadikan model dengan mengikut peraturan-peraturan dan SOP yang ditetapkan.

Ini adalah bagi memastikan pasar-pasar ini dapat diselia dan dikawal dengan baik oleh pihak berwajib.



cpn
 
Top