Menu



Galeri Skybridge di Jambatan Angkat Terengganu sudah dibuka semula hari ini selepas ditutup selama hampir 100 hari.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc Properties Sdn Bhd, Khalizan Mahmud berkata pihaknya telah meneliti keluasan dan kapasiti di galeri berkenaan dan memutuskan hanya 20 pelawat dibenarkan untuk masuk dalam satu masa.

"Jumlah pengunjung yang dibenarkan untuk masuk ke bilik pemerhatian lantai kaca dan Sky Terrace pula akan dihadkan dari 10 orang kepada hanya 5 orang"

TI Properties Sdn Bhd adalah syarikat pengendali jambatan angkat pertama di Asia Tenggara itu yang bertanggungjawab terhadap pengurusan acara, penyelenggaraan bangunan dan memantau pembukaan bahagian tengah jambatan angkat itu untuk laluan kapal-kapal yang besar.

Khalizan berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, Galeri Skybridge akan dibuka kepada pelancong pada jam10 pagi sehingga 5 petang setiap hari kecuali pada hari Jumaat yang mana operasi dihentikan selama dua jam (dari 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang) untuk memberi laluan solat Jumaat.

"Kami sangat teliti dalam mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk kategori Pelancongan, Seni dan Budaya yang mana beberapa SOP wajib dilaksanakan, antaranya had umur bagi pengunjung dan sistem nombor giliran untuk memastikan wujudnya jarak sosial di dalam Galeri Skybridge.

"Tatacara pengendalian untuk pelancong seperti pemeriksaan suhu badan, pemakaian pelitup muka serta butiran peribadi pelancong juga akan direkodkan untuk memudahkan sebarang urusan," katanya.

Jambatan bernilai RM248 juta itu dibina dengan menggunakan sistem teknologi hidraulik canggih dan merupakan jambatan keempat menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus selepas Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati.

Orang ramai yang ingin berkunjung ke Galeri Skybridge itu akan dikenakan bayaran yang masih sama seperti sebelum ini iaitu RM5 bagi warganegara dewasa dan percuma untuk kanak-kanak bawah tiga tahun, manakala bagi bukan warganegara bayaran RM30 untuk dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak.

Sumber : BERNAMA


cpn
 
Top