Menu


Haa... buat apa tu? Foto- Skuad Amar

Pegawai Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu memberi amaran kepada 15 pasangan kekasih yang sedang bermadu kasih di sekitar jambatan angkat (drawbridge) dalam operasi mencegah maksiat di sekitar kawasan itu.

Kesemua mereka juga gagal mengemukakan dokumen perkahwinan ketika operasi yang dilakukan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar) itu.

Penasihat Skuad Amar, Yusof Abdul Hadi berkata, sepasang kekasih turut ditahan kerana dikesan melakukan perbuatan tidak bermoral.

"Skuad Amar tidak mempunyai kuasa untuk mengambil sebarang tindakan tetapi kita serahkan kepada pejabat agama daerah.

"Kita bertanggungjawab memberikan nasihat dan peringatan kepada masyarakat supaya menjaga tingkah laku tempat awam," katanya.

Menurutnya, selain melakukan pencegahan aktiviti maksiat dan perbuatan tidak bermoral pasukan itu juga mengedarkan risalah dan menggantung poster berkaitan kesalahan jenayah syariah untuk memberi kesedaran kepada mereka yang berkunjung di sekitar kawasan berkenaan.


Beliau memberitahu, Skuad Amar melakukan rondaan secara berkala terutama pada hujung minggu atau hari cuti umum di lokasi tumpuan orang ramai.

Operasi antara jam 11 malam hingga itu 2.30 pagi itu mendapat kerjasama seramai 20 anggota termasuk Pegawai Penguatkuasa Syariah serta Sukarelawan Amar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Sumber : Sinar Harian




cpn
 
Top