Menu



Tiga maut, termasuk seorang bayi perempuan dan bapanya, apabila kereta dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh penghadang jalan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tong, Kampung Sungai Tong, di sini, awal pagi semalam kira-kira jam 5.30 pagi.

Dalam kemalangan membabitkan tujuh mangsa dipercayai sekeluarga yang menaiki kereta jenis Honda Jazz itu, mangsa terkorban ialah Nur Raisha Delisha Mohamad Amirul Affis berusia lima bulan bersama bapanya, Mohamad Amirul Affis Mohamad, 23.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin, berkata seorang lagi mangsa yang meninggal dunia ialah adik kepada Mohamad Amirul Affis, Mohamad Amirul Akimi Mohamad, 15.

Beliau berkata, nahas itu turut menyebabkan empat mangsa lagi mengalami kecederaan, termasuk seorang parah.

Katanya, mereka ialah ibu kepada bayi itu yang juga pemandu kereta terbabit, Hanisyafiqah Syazwany Yaakub, 27, dan seorang lagi adik Mohamad Amirul Affis, Balqis Mohamad, 8.

Beliau berkata, dua lagi penumpang cedera ialah adik-beradik, Muhammad Rayyan Ashraff Alias, 6, dan Muhammad Rizairil Adam Alias, 3 (parah), yang dipercayai ada hubungan kekeluargaan dengan mangsa lain.

"Kemalangan berlaku apabila kereta dipandu Hanisyafiqah Syazwany dipercayai hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan sebaik saja tiba di Kilometer 42 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu berhampiran SMK Sungai Tong, di sini.

"Nahas itu menyebabkan suami pemandu bersama bayinya yang duduk di tempat penumpang hadapan dan seorang lagi mangsa di tempat duduk belakang mengalami kecederaan parah serta maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi.

Afandi berkata, difahamkan bahawa kemalangan itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu ke rumah keluarga di Kampung Tok Randok, Ajil, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Susulan itu, beliau berkata, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Setiu untuk rawatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.



cpn
 
Top