Menu



Dua lelaki telah ditahan reman bagi membantu siasatan berkaitan dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Dadah Berbahaya LLPK 1952.

Mahkamah Majistret Marang menerusi hakim majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan kedua-dua suspek masing-masing berumur 42 dan 30-an direman enam hari untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian semasa tangkapan dilakukan, salah seorang lelaki terbabit sempat mencampak bungkusan dipercayai mengandungi dadah ketika diserbu anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu di sebuah bangsal di Kampung Matang, Kuala Berang di sini, petang Rabu lalu.

Lelaki itu ditahan kira-kira jam 6.35 petang di sebuah bangsal yang menjadi lokasi aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

"Ketika serbuan, suspek berseorangan dan dipercayai dalam keadaan khayal tetapi cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota polis.

"Bagaimanapun berlaku pergelutan dan suspek sempat mencampak satu bungkusan plastik berwarna hijau ke atas bangsal tersebut.

"Pemeriksaan mendapati bungkusan plastik tersebut mengandungi empat botol plastik lutsinar bertudung kuning setiap satu botol berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin bernilai RM2,000," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber berkata, suspek yang beralamat dari Felda Mengkawang, Ajil, di sini mendakwa mendapatkan bekalan dadah itu daripada rakannya yang tinggal di sekitar kawasan kampung tersebut dan berurusan sejak awal Mei lalu.

"Suspek yang positif morfin juga mendakwa menjadikan lokasi di sekitar bangsal tersebut sebagai tempat urusniaga dan membeli dadah itu pada harga RM400 sebotol.

"Suspek yang memiliki satu rekod jenayah lampau berkaitan curi mendakwa menjual semula barang terlarang tersebut kepada pengedar di sekitar Kampung Padang Setar, Sekayu, di sini," katanya.

Tambah sumber terbabit, susulan itu polis menahan seorang lagi lelaki di rumahnya di kampung berkenaan untuk siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1952.

"Turut disita sebuah motosikal jenis Honda RS150R bernilai RM10,000 disyaki digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah," katanya.





cpn
 
Top