Menu



Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) sedang meneliti dan menyiasat dakwaan video dan gambar yang tular di media sosial yang memaparkan tindakan pelanggan membawa seekor anjing di sebuah restoran di Gong Badak sekaligus  mengundang rasa tidak senang masyarakat setempat. 

Pesuruhjaya JHEAT, Mat Azmi Arshad berkata, pihaknya akan meneliti perkara itu terlebih dahulu sebelum menentukan sebarang tindakan susulan.

JHEAT memandang serius isu tersebut dan berharap semua pemilik sijil dan logo halal di Terengganu tidak mengambil mudah akan peraturan yang telah ditetapkan.

“Kita akan minta Bahagian Pengurusan Halal ke premis itu terlebih dahulu untuk membuat semakan berhubung perkara sebenar selain perlu memastikan sama ada restoran itu mempunyai sijil halal atau tidak. Sekiranya ada tetapi tidak patuh, kemungkinan ia ditarik balik.

“Sebarang perkembangan lanjut kita akan maklumkan selepas semakan dan siasatan dilakukan,” katanya ketika dihubungi media.

Isu tersebut yang telah tular sejak semalam menimbulkan kemarahan dalam kalangan netizen dengan kebanyakan daripada mereka menyatakan situasi seperti itu tidak patut berlaku.

Berdasarkan rakaman yang dikongsi menerusi platform media sosial, seekor anjing kelihatan berada di atas salah satu kerusi di premis tersebut.



cpn
 
Top