Menu



Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah mengeluarkan sejumlah 107 kompaun ke atas restoran dan kedai makan, manakala 97 lagi telah diarah tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan ketika operasi patuh khas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berjumlah RM107,000.

Antara kegagalan pengusaha restoran dan kedai makan adalah tiada penjarakan meja makan sejauh dua meter, tidak menyediakan petugas untuk mengambil suhu badan pelanggan selain tidak memberi perhatian pada buku catatan kedatangan pelanggan.

Menurut Pengarah JKNT, Dr Nor Azimi Yunus, dalam operasi patuh khas PKPP itu, 97 restoran dan kedai makan diarahkan ditutup antara tiga dan tujuh hari berikutan kawasan penyediaan makanan yang kotor.

Beliau berkata, sebanyak 3,317 restoran dan kedai makan di daerah Kemaman, Setiu, Besut dan Kuala Terengganu diperiksa dalam operasi sejak 10 Jun lalu.

"Restoran dan kedai makan di daerah Kemaman mencatatkan kes gagal patuhi SOP tertinggi iaitu 47 kes manakala daerah lain seperti Setiu (13), Besut (10), Kuala Terengganu (18) dan lapan kes di daerah Dungun.

"Operasi bersepadu membabitkan seramai 161 pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan akan dilakukan di daerah Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu," katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi patuh khas PKPP di Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau menegaskan, walaupun tiada kes terbaru penularan wabak Covid-19 dilaporkan berlaku di negeri ini, langkah pematuhan SOP wajar dipantau bagi mengelakkan penularan jangkitan kes import di kalangan komuniti.

Beliau turut menjelaskan bahawa operasi diadakan bukan bertujuan menyusahkan atau sengaja mencari kesalahan pengusaha restoran dan kedai makan, tetapi hasil pemantauan dilakukan mendapati kebanyakan mereka gagal mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, sebelum serbuan dilakukan, pegawai dan anggota penguat kuasa sudah melakukan risikan serta pemantauan dan mendapati pematuhan SOP dilakukan secara sambil lewa oleh pengusaha.




cpn
 
Top