Menu




Dua mangsa kemalangan, salah satunya merupakan seorang kanak-kanak berusia satu tahun maut selepas kenderaan dinaiki kedua-dua mangsa bertembung berhampiran Balai Polis Sungai Tong di Permaisuri, Setiu petang hari ini.

Mangsa kanak-kanak yang maut adalah penumpang kenderaan MPV Perodua Alza, Puteri Balqis Maghfirahtul Nafeesa Mohd Azmi, 1, yang berasal dari Kampung Bukit Kuang Tanggol, Kuala Berang.

Seorang lagi mangsa maut yang disahkan meninggal dunia di Hospital Setiu dikenal pasti sebagai Ab Halim Awang, 73, dari Felda Chalok Barat, Bandar Permaisuri. Mangsa adalah penumpang di tempat duduk hadapan kereta Proton Saga.

Kemalangan pada 4.30 petang itu turut menyebabkan empat lagi yang menaiki kenderaan bersama Puteri Balqis Maghfirahtul Nafeesa mengalami kecederaan.

Empat mangsa yang cedera menaiki kenderaan MPV Perodua Alza adalah Muhamad Azmil Syahmi Mohd Azmi, 10; Nik Muhammad Imam Al-Syafie Nik Mustafa, 6; pemandu, Syaubah Kamal, 31, serta Muhammad Azmir Azfahsya Rayyan Muhammad Azmi, 7, yang mengalami cedera ringan.

Pemandu kereta Proton Saga, Muhamad Hazwan AB Halim, 27, dilaporkan turut mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, Muhamad Azmil Syahmi dan Nik Muhammad Imam mengalami kecederaan yang agak parah dalam kejadian itu.

Menurutnya, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu Syaubah yang datang dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu dilanggar kereta yang datang dari arah bertentangan.

"Difahamkan, pemandu Proton Saga dipercayai cuba mengelak sebuah lori yang parkir di sebelah kiri jalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar MPV terbabit," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


cpn
 
Top