Menu



Seorang lelaki mengamuk memecahkan meja dan kerusi serta peralatan berniaga seorang penyewa kedai yang menyewa kedai milik ibu saspek kerana tidak diberikan wang RM50 dalam satu kejadian di Padang Midin, Sabtu lalu.

Ketika kejadian kira-kira jam 5 petang itu mangsa didatangi saspek yang meminta wang RM50 konon untuk membaiki keretanya.

Sumber berkata, saspek berusia 39 tahun turut mengugut mahu memukul lelaki berusia 38 tahun itu sambil mengacu sebilah pisau.

Kata sumber itu, mangsa yang bertegas tidak mahu memberikan wang menyebabkan saspek naik berang dan memecahkan kerusi serta menendang jeriji pintu sehingga rosak.

"Saspek juga memberitahu mangsa yang kedai itu adalah miliknya sebelum lebih agresif dengan mengeluarkan sebilah pisau lalu mengacukan ke arah mangsa dan mengugut akan mencederakannya sebelum beredar," katanya ketika dihubungi.

Menurut sumber, mangsa mendakwa kejadian seperti itu bukanlah kali pertama berlaku malah sudah kerap terjadi sepanjang tempoh dia menyewa di premis berkenaan.

"Tidak tahan sering diugut, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut selain bimbang akan keselamatan diri dan ahli keluarga pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi telah mengesahkan kejadian.

Jelasnya suspek ditahan sehari selepas laporan dibuat pada Ahad lalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.




cpn
 
Top