Menu


FOTO : UPDI

Ekoran aduan orang ramai dan penemuan kondom di sekitar Jambatan Angkat Kuala Terengganu, skuad khas dari Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu telah bertugas melakukan pemantauan aktiviti tidak bermoral di sekitar kawasan tersebut.

Menurut Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Shukri Faiz Jusoh, langkah itu diambil ekoran wujudnya dakwaan terdapat individu-individu yang mengambil kesempatan menjadikan kawasan itu sebagai tempat kegiatan aktiviti tidak bermoral.

"Pihak kami menerima aduan daripada orang ramai mengenai kelakuan tidak bermoral di kawasan itu ekoran penemuan beberapa kondom di sekitar tapak pembinaan bangunan baharu Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) dan tempat parkir kereta sekitar drawbridge.

"Pemantauan lokasi berkenaan akan dilakukan oleh ketua unit bersama enam anggota Pegawai Penguatkuasa Syariah Daerah Kuala Terengganu," katanya.

Sementara itu, katanya, pihaknya tidak mengesan sebarang kes kesalahan jenayah syariah sepanjang rondaan bermula jam 10 malam sehingga 6 pagi di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu baru-baru ini.

"Rondaan ini akan terus dijalankan dari masa ke masa bagi memastikan rakyat Terengganu terjebak dalam kegiatan dan aktiviti yang tidak bermoral.

"Tinjauan dilakukan di beberapa lokasi berbeza setiap hari,"katanya.

Terdahulu, kawasan berhampiran jambatan ikonik itu menjadi perhatian warganet apabila dilabelkan sebagai 'port romen' di laman Google Maps yang turut disertakan dengan beberapa keping gambar pasangan yang sedang berdua-duaan.  Tinjauan ke laman Google Maps yang terkini bagaimanapun mendapati nama lokasi tersebut telahpun ditukar kepada 'Port Santai' namun gambar-gambar tersebut masih kekal.







cpn
 
Top