Menu



Kelab Penyokong Bolasepak TFC, meletak harapan tinggi kerajaan dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dapat memberikan kelonggaran kepada peminat menyaksikan saingan Liga Super dan Liga Perdana di stadium.

Presiden Kelab Penyokong TFC, Mohd Isa Che Ariffin berkata, memandangkan sudah banyak sektor dibenarkan beroperasi, peminat bola sepak juga harus diberi peluang menyaksikan liga paling berprestij dalam negara itu di stadium.

Bagaimanapun beliau mengharapkan badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu dapat menetapkan garis panduan ataupun Prosedur Operasi Standard (SOP) kepada peminat yang ingin memasuki stadium bagi membendung pandemik COVID-19.

"Pandangan saya jika keadaan terkawal bolehlah memberi kelonggaran dan peluang kepada peminat untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi di stadium lebih-lebih lagi saingan liga hanya berbaki tujuh dan lapan perlawanan sebelum ditamatkan.

"Lagipun mereka sudah tidak sabar untuk menyaksikan perlawanan selepas ditangguhkan bermula 16 Mac lalu selain sudah pasti pemain juga mahukan sorakan padu daripada peminat bagi menyuntik semangat mereka ketika beraksi.

"Mungkin MFL boleh memikirkan SOP terbaik termasuk mengurangkan jumlah peminat yang hadir ke stadium mengikut kapasiti dengan mengambil kira penjarakan sosial dan pemeriksaan suhu badan serta syarat lain difikirkan sesuai," kata Mohd Isa.

Sebelum ini Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bersetuju membenarkan penganjuran kejohanan sukan bersentuhan fizikal dalam keadaan terkawal dan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan mulai 15 Ogos ini.

Walau bagaimanapun pertandingan hanya terhad kepada kejohanan tempatan sahaja tanpa melibatkan kehadiran penonton manakala penganjuran acara antarabangsa membabitkan peserta luar negara tidak dibenarkan.

Berita Harian



cpn
 
Top