Menu



Dua rakan penjenayah tidak sempat 'berjoli' dengan hasil rompakan wang tunai dan barangan yang dianggarkan bernilai RM123,000 apabila ditahan polis kurang 24 jam Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, kedua-dua saspek yang berusia 29 dan 40 tahun itu ditahan di sekitar Kerteh dan Kijal, Kemaman.

Menurut beliau, salah seorang saspek memecah masuk rumah mangsa yang juga seorang wanita berusia 56 tahun di Paka kira-kira jam 3.30 petang sebelum ditahan.

"Mangsa bersendirian di rumah ketika kejadian dan saspek bertindak mengugut mangsa untuk membuka peti besi dan menyerahkan wang tunai dan barangan bernilai.

"Mangsa yang ketakutan membuka peti besi sebelum menyerahkan wang tunai dan barangan kemas serta beg berjenama yang dianggarkan bernilai RM123,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun hari ini.

Polis melancarkan gerakan memburu saspek sebaik menerima laporan dan turut mendapat bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman.

Saspek pertama berjaya ditahan di Kerteh kira-kira jam 9 malam pada hari yang sama dan susulan tangkapan terbabit, pihak polis telah menyerbu sebuah kilang papan di Kijal dan menahan saspek kedua kira-kira jam 12.30 tengah malam.

"Hasil tangkapan tersebut, kita berjaya menemui semula wang tunai RM7,000 dan pelbagai mata wang asing dianggarkan bernilai RM6,000 berserta barangan kemas dan beg. Kita turut merampas sebuah kereta yang dipercayai digunakan saspek.

"Kedua-dua saspek yang berasal dari Selangor dan Johor itu merupakan pesalah yang sedang menjalani perintah sekatan buang daerah atas kesalahan jenayah dan dadah.

"Hasil saringan awal air kencing turut mendapati kedua-dua saspek positif dadah jenis methamphetamine. Semakan juga mendapati kedua-dua saspek masing-masing memiliki 15 dan 16 rekod jenayah lampau dan narkotik," katanya.

Kedua-dua saspek kini direman selama enam hari sehingga 29 Julai dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak.

Sinar


cpn
 
Top