Menu



Tiga lelaki maut dan dua lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 42, Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi (Aring-Kenyir) lewat petang semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8.00 malam, membabitkan sebuah lori treler yang membawa muatan bijih besi dan kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki oleh lima orang lelaki.

Mangsa yang maut adalah pemandu Toyota Vios, Noriskandar Muzafar, 33, penumpang hadapan, Wan Ahmad Adam Murshidy Wan Rosli, 24, dan penumpang belakang, Zulkarnain Buniyami, 18.

Manakala dua lagi penumpang, Afif Safwan Mohd Zuki, 21, dan Mohamad Rusydi Md. Said, 26, cedera. Pemandu treler yang berusia 24 tahun bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika lori treler dalam perjalanan dari arah Gua Musang, Kelantan ke Pelabuhan Gebeng, Kuantan, Pahang.

Menurutnya, lima lagi lelaki yang menaiki Toyota Vios pula dikatakan dalam perjalanan dari Bera, Pahang menghala ke Perak.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa dikatakan melanggar lopak air lalu hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan lori treler.

"Kereta terbabit merempuh bahagian hadapan lori treler menyebabkan tiga mangsa maut di tempat kejadian.

"Dua yang cedera dibawa Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan manakala mayat tiga mangsa dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk proses bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Pegawai Bomba Kanan 11, Mohd Zumizan Sidek, berkata pihaknya menerima panggilan jam 7.59 petang sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, terdapat dua mangsa tersepit di bahagian pemandu dan bahagian penumpang hadapan kereta Toyota Vios.

Bomba dan penyelamat mengambil masa kira 20 minit untuk mengeluarkan dua mangsa yang maut manakala empat lagi mangsa termasuk seorang yang sudah meninggal dunia dikeluarkan orang awam.


cpn
 
Top