Menu



Aplikasi pesanan dan penghantaran kini diakui dapat memudahkan pengguna yang ingin membeli barangan keperluan harian serta makanan tanpa perlu berkunjung ke premis perniagaan. Apatah lagi dengan keadaan negara kini yang masih dilanda wabak koronavirus, orang ramai juga turut digalakkan membuat pembelian menerusi aplikasi-apikasi yang tersedia bagi menjaga keselamatan diri dan mengelakkan jangkitan wabak.

Atas saranan ini, sekumpulan anak muda tempatan dari Terengganu telah mengambil inisiatif untuk membangunkan aplikasi pesanan dan penghantaran yang dinamakan Hungga Mart.

Aplikasi Hungga Mart telah dibangun dan dilancarkan pada fasa awal Perintah Kawalan Pergerakan bertujuan untuk menyediakan platform kemudahan kepada peniaga-peniaga yang terjejas kerana penutupan premis dan terkesan akibat dari kekurangan pelanggan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hungga Mart, Md Saifudaullah bin Bahrudin, 31; apa yang membezakan Hungga Mart dengan aplikasi pesanan dan penghantaran yang lain adalah ianya tidak terhad kepada pesanan dan penghantaran makanan sahaja, malah turut merangkumi pesanan dan penghantaran barangan keperluan harian, pakaian, aksesori, ubat-ubatan dan lain-lain.

“Saya lihat aplikasi yang ada pada hari ini agak terhad kepada pesanan dan penghantaran makanan, jadi kami cuba wujudkan kelainan dengan mempelbagaikan lagi pesanan yang boleh dibuat bagi memberi kemudahan kepada pengguna serta mewujudkan peluang kepada peniaga-peniaga dalam pelbagai sektor,”

Jelasnya, walaupun baharu sahaja dilancarkan pada Mac lalu dan hanya tertumpu di bandar Kuala Terengganu, aplikasi Hungga Mart telah berjaya mengumpulkan lebih 200 peniaga tempatan dan 10,000 orang pengguna.

Kepelbagaian untuk membuat pesanan dalam aplikasi yang telah dibangunkan olehnya bersama rakan kongsi, Zunaidi Bin Abuas, 35 dan Mohd Tajul Asri Bin Rosli, 29; ternyata memberikan kelainan kepada pengguna yang inginkan skop jualan dan pembelian yang lebih meluas dengan kadar penghantaran yang lebih pantas.

(Dari kiri) Mohd Tajul Asri, Saifudaullah dan Zunaidi merupakan anak tempatan yang berjaya membangunkan aplikasi pesanan & penghantaran setanding syarikat-syarikat ternama yang lain.

Saifudaullah yang juga jurutera pembangunan aplikasi tersebut turut memaklumkan bahawa Hungga Mart kini dalam menyediakan pelbagai promosi menarik seperti kupon diskaun dan lain-lain mata ganjaran bagi menarik lebih ramai pengguna.

Beliau berkata, selain menyediakan platform kemudahan kepada peniaga dan pengguna, aplikasi Hungga Mart juga mewujudkan peluang pekerjaan kepada penghantar (runner) secara sambilan atau sepenuh masa.

“Biarpun masyarakat menganggap terdapat aplikasi-aplikasi lain yang sudah mendominasi pasaran di Malaysia, ianya tak akan melemahkan semangat kami untuk terus berinovasi mengikut keperluan dan kehendak semasa pengguna.

“Dengan kelainan dan kepelbagaian yang dibawa oleh Hungga Mart, kami berharap ianya dapat berkembang ke seluruh Terengganu dan Malaysia,” ujarnya lagi.

Pengguna boleh memuat turun aplikasi Hungga Mart menerusi laman Google Playstore bagi Android dan Apple AppStore bagi sistem pengoperasian iOs. Peniaga yang ingin memasarkan produk jualan pula boleh terus mendaftar menerusi aplikasi Hungga Merchant manakala penghantar boleh mendaftar di aplikasi Hungga Runner.

Terengganu Voice



cpn
 
Top