Menu



Kegembiraan tujuh sahabat beriadah di Pantai Kampung Tanjung, Seberang Takir di sini pagi tadi berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka lemas ketika mandi di pantai berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Yusmizan Yusof berkata dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, Muhammad Amirul Zulkafli,15, dan Muhammad Aidil Ashman Abdul Manan,16, yang pulang dari berjoging, mandi laut ketika air surut namun mereka tidak menyedari air pasang secara tiba-tiba.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 7.37 pagi dan seramai 14 anggota daripada BBP Kuala Nerus dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Kuala Terengganu digerakkan ke lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Menurutnya mayat kedua-dua remaja itu ditemukan pada 9 pagi di lokasi mereka mandi kira-kira 50 meter dari pantai.

Katanya kedua-dua mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi tindakan lanjut.

BERNAMA



cpn
 
Top