Menu



Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun maut manakala lima yang lain parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di sini, pada Sabtu.

Nahas berlaku di Kilometer 32.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Penjara Marang kira-kira jam 4.25 petang.

Fakhrullah Mohd Fadili meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan.
Ketua Polis Daerah DSP Mohd Zain Mat Dris berkata, empat yang parah adalah bapa mangsa, Mohd Fadili Mohamad, 38 tahun, ibunya, Noor Wahida Mamat @ Adam, 41 tahun, serta dua adik mangsa, Ainul Mardhiah Najihah, 8 tahun, dan Muhammad Thaqif Naufal, 4 tahun.

Manakala seorang lagi adalah pemandu kereta Toyota Corolla, Mohd Azwarin Ahmed, 39 tahun.
Kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu Mohd Azwarin dipercayai memasuki laluan bertentangan.

Sebuah kereta Toyota Wish yang dikendali pemandu berusia 44 tahun berjaya mengelak dari dirempuh dan terbabas ke bahu jalan.

Kenderaan dipandu Mohd Azwarin kemudiannya merempuh Perodua Alza yang dinaiki lima beranak itu.

Jenazah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk tindakan lanjut manakala kesemua mangsa yang parah dirawat di hospital sama.

Kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



cpn
 
Top