Menu



Siapa sangka, dengan hanya menjual model miniatur jenama motosikal yang laris di pasaran dapat memberi pulangan yang lumayan kepada pemuda dari Kampung Pengadang Baru, Kuala Terengganu ini.

Muhammad Naim yang berusia 28 tahun berkata dia mula berniaga dengan menjual pelbagai jenis model miniatur motosikal sejak sebulan yang lalu.

Menurut beliau, sehingga kini sudah lebih 600 unit motosikal termasuk 550 model motosikal RX-Z Millenium sudah terjual.

"BUKAN motosikal sebenar (RX-Z) sahaja yang laris sekarang, model mini pun laris dan dapat permintaan tinggi oleh peminat" ujarnya.

Selain RX-Z, antara model miniatur yang turut mendapat sambutan menggalakkan adalah Yamaha Y125Z dan Yamaha Y15ZR yang lebih dikenali dengan nama YSuku. 

"Yang paling laris ialah model motosikal RX-Z dan dijual dengan harga RM120 hingga RM160 seunit mengikut jenis motosikal dan tempahan," katanya lagi.

Beliau yang mempunyai Diploma Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Chendering, Terengganu berkata, perniagaan model miniatur motosikal itu dijalankan bertujuan mengisi masa lapang namun tidak menyangka ianya dapat memberikan pulangan yang lumayan.

Idea untuk menjual model motosikal itu tercetus selepas melihat ramai peminat motosikal RX-Z sehingga viral dan harga motosikal itu juga kini melambung tinggi," katanya.

Menariknya, pembeli juga boleh mengabadikan nombor plat motosikal masing-masing pada model miniatur berkenaan.

Tambahnya lagi, pembeli bukan sahaja peminat motosikal RX-Z yang terdiri dari kaum lelaki, tetapi kaum wanita seperti isteri dan bakal isteri juga turut membelinya untuk dihadiahkan kepada suami atau sebagai hantaran perkahwinan.




cpn
 
Top