Menu



Setakat ini, pihak Polis Terengganu mengesahkan tiada insiden yang melibatkan pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik berlaku di negeri ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik memaklumkan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai pemasangan Jalur Gemilang yang tidak mengikut aturan sebenar itu.

“Bagaimanapun jika kesalahan ini ditemui, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, tindakan terhadap pesalah boleh diambil mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.

Pada 4 Ogos lalu, media melaporkan Jalur Gemilang dipasang terbalik di sebuah sekolah kebangsaan di Kluang, Johor.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Abduh Ismail dilaporkan berkata, insiden itu berlaku berikutan kakitangan swasta tersilap menaikkan bendera.



cpn
 
Top